Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004

Akta 633

Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004

Mengandungi segala pindaan hingga 1 Januari 2006 Diterbitkan oleh Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang, Malaysia Di bawah Kuasa Akta Penyemakan Undang-Undang 1968

Tarikh Persetujuan Diraja … … … 2 5 Jun 2004 Tarikh penyiaran dalam Warta … … 1 Julai 2004

Suatu Akta untuk menubuhkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk melaksanakan fungsi-fungsi penguatkuasaan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia dengan tujuan melindungi kepentingan maritim dan kepentingan lain negara dalam zon itu dan bagi perkara-perkara yang perlu atau yang berkaitan dengannya.


DIPERBUAT oleh Parlimen Malaysia seperti yang berikut:


Bahagian I


PERMULAAN


Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa

1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004.

(2) Akta ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta, dan Menteri boleh menetapkan tarikh yang berlainan bagi permulaan kuat kuasa peruntukan yang berlainan dalam Akta ini dalam bahagian yang berlainan di Malaysia.


Tafsiran


2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“Agensi” ertinya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;

“agensi yang berkaitan” ertinya badan atau agensi yang pada masa ini bertanggungjawab di Malaysia bagi penguatkuasaan mana-mana undang-undang persekutuan yang terpakai di Zon Maritim Malaysia; “kesalahan” ertinya mana-mana kesalahan di bawah manamana undang-undang persekutuan yang terpakai di Zon Maritim Malaysia;

“Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang dilantik di bawah subseksyen 4(1);

“laut wilayah” ertinya perairan wilayah Malaysia sebagaimana yang ditentukan mengikut Ordinan No. 7 (Kuasa-kuasa Perlu)Darurat, 1969 [P.U. (A)07a/1969];

“Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi penguatkuasaan maritim Malaysia;

“pegawai agensi” termasuklah Ketua Pengarah dan mana-mana pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 5(1);

“pelantar benua” ertinya pelantar benua Malaysia sebagaimana yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Pelantar Benua 1966 [Akta 83];

“perairan pedalaman” ertinya mana-mana kawasan laut yang terletak di sebelah bahagian darat garis dasar yang darinya lebar laut wilayah Malaysia diukur;

“perairan perikanan Malaysia” ertinya perairan perikanan Malaysia sebagaimana yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Perikanan 1985 [Akta 317];

“zon ekonomi eksklusif” ertinya zon ekonomi eksklusif Malaysia sebagaimana yang ditentukan mengikut Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 [Akta 311];

“Zon Maritim Malaysia” ertinya perairan pedalaman, laut wilayah, pelantar benua, zon ekonomi eksklusif dan perairan perikanan Malaysia dan termasuk ruang udara di atas Zon itu.


Bahagian II


PENUBUHAN AGENSI DAN PELANTIKAN


Penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia


3. (1) Bagi maksud Akta ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ditubuhkan.

(2) A gensi hendaklah, tertakluk kepada Akta ini, digunakan khidmatnya di dalam Zon Maritim Malaysia bagi memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan, kesejahteraan dan keselamatan, mencegah dan mengesan jenayah,menangkap dan mendakwa pesalah-pesalah dan mengumpul risikan keselamatan.


Pelantikan Ketua Pengarah Agensi

4. (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang Ketua Pengarah Penguatkuasaan Maritim Malaysia, yang hendaklah mengetuai Agensi, dari kalangan anggota perkhidmatan awam untuk selama apa-apa tempoh dan atas apaapa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya.

(2) Tempoh pelantikan Ketua Pengarah tidak boleh melewati tarikh persaraan wajibnya daripada perkhidmatan awam, tetapi jika dia mencapai umur persaraan wajib itu dia boleh dilantik semula sebagai Ketua Pengarah oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, secara kontrak selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya.

(3) Ketua Pengarah hendaklah, sepanjang tempoh pelantikannya sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya,memegang jawatan mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong,tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri.

(4) Ketua Pengarah hendaklah, sepanjang tempoh jawatannya sebagai Ketua Pengarah, disifatkan sebagai anggota perkhidmatan awam am Persekutuan bagi maksud tatatertib.

(5) Ketua Pengarah hendaklah bertanggungjawab bagi arahan,perintah, kawalan dan pengawasan segala perkara yang berhubungan dengan Agensi.

(6) Ketua Pengarah hendaklah, sebelum mula menjalankan tugas dan tanggungjawab jawatannya, membuat, di hadapan Yang di-Pertuan Agong dengan cara yang diakuinya sebagai yang paling mengikat perasaan hati nuraninya, suatu akuan sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 19.

(7) Maka hendaklah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah suatu perakuan pelantikan dalam bentuk kad kuasa sebagai keterangan tentang pelantikannya.

Pelantikan pegawai-pegawai lain Agensi

5. (1) M aka hendaklah dilantik apa-apa bilangan pegawai Agensi yang perlu, yang pangkatnya akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah, bagi maksud melaksanakan peruntukan Akta ini.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh, dalam perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1), menentukan bahawa pangkat pegawai yang dilantik itu hendaklah dikira sebagai setara dengan pangkat—

(a) pegawai polis sebagaimana yang dinyatakan dalam atau di bawah Akta Polis 1967 [Akta 344];

(b) pegawai kastam sebagaimana yang dinyatakan dalam atau di bawah Akta Kastam 1967 [Akta 235]; dan

(c) mana-mana pegawai lain yang pangkatnya dinyatakan dalam atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain,dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] dan undang-undang yang dinyatakan dalam subseksyen 7(3) hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.

(3) Seseorang pegawai yang dilantik di bawah subseksyen (1)hendaklah mempunyai apa-apa kuasa yang diperuntukkan bagi pegawai itu di bawah Akta ini dan hendaklah tertakluk kepada arahan, perintah, kawalan dan pengawasan Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai lain Agensi yang lebih tinggi pangkatnya daripada pegawai itu, dan hendaklah menjalankan kuasanya,melaksanakan fungsinya dan menunaikan kewajipannya dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mematuhi apa-apa arahan atau petunjuk yang dinyatakan secara lisan atau bertulis oleh Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai lain Agensi yang lebih tinggi pangkatnya daripada pegawai itu.

(4) Suatu perakuan pelantikan dalam bentuk kad kuasa hendaklah dikeluarkan kepada tiap-tiap pegawai Agensi yang dilantik di bawah subseksyen (1), dan kad itu hendaklah ditandatangani oleh Ketua Pengarah dan hendaklah menjadi keterangan prima facie tentang pelantikan pegawai itu di bawah Akta ini.


Bahagian III


FUNGSI DAN KUASA AGENSI


Fungsi Agensi


6. (1) Fungsi Agensi ialah—

(a) menguatkuasakan undang-undang dan ketenteraman di bawah mana-mana undang-undang persekutuan;

(b) melaksanakan tugas mencari dan menyelamat maritim;

(c) mencegah dan menyekat pelakuan kesalahan;

(d) memberikan bantuan dalam apa-apa perkara jenayah atas permintaan Negara asing sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 [Akta 621];

(e) menjalankan pengawasan udara dan pantai;

(f) menyediakan perkhidmatan pelantar dan sokongan kepada mana-mana agensi yang berkaitan;

(g) menubuhkan dan menguruskan institusi maritim bagi latihan pegawai Agensi; dan

(h) secara amnya melaksanakan apa-apa kewajipan yang lain bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan maritim atau melakukan segala perkara yang bersampingan dengannya.

(2) Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, fungsi Agensi hendaklah dilaksanakan di dalam Zon Maritim Malaysia.

(3) W alau apa pun subseksyen (2), Agensi hendaklah bertanggungjawab—

(a) bagi pelaksanaan tugas mencari dan menyelamat maritim;

(b) bagi pengawalan dan pencegahan pencemaran maritim;

(c) bagi pencegahan dan penyekatan pelanunan; dan

(d) bagi pencegahan dan penyekatan pengedaran haram dadah narkotik,

di lautan lepas.


Kuasa Agensi


7. (1) A gensi hendaklah mempunyai kuasa untuk menjalankan maksud yang disebut dalam subseksyen 3(2) dan untuk melakukan segala perkara yang semunasabahnya perlu bagi atau bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya di bawah seksyen 6.

(2) Secara khususnya, tetapi tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), Agensi hendaklah mempunyai kuasa—

(a) untuk menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang pelakuan sesuatu kesalahan;

(b) untuk memberhentikan, memasuki, menaiki, memeriksa dan menggeledah mana-mana tempat, struktur, vessel atau pesawat udara dan untuk menahan mana-mana vessel atau pesawat udara;

(c) untuk menuntut pengemukaan apa-apa lesen, permit,rekod, perakuan atau apa-apa dokumen lain dan untuk memeriksa lesen, permit, rekod, perakuan atau dokumenlain itu atau membuat salinan atau mengambil cabutan daripada lesen, permit, rekod, perakuan atau dokumenlain itu;

(d) untuk menyiasat apa-apa kesalahan yang Agensi mempunyai sebab untuk mempercayai sedang dilakukan atau hampir akan dilakukan atau telah dilakukan;

(e) untuk menggunakan hak kejar buru;

(f) untuk memeriksa dan menyita mana-mana ikan, artikel,peranti, barang, vesel, pesawat udara atau apa-apa benda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia lain yang berhubungan dengannya apa-apa kesalahan telah dilakukan atau Agensi mempunyai sebab untuk mempercayai telah dilakukan;

(g) untuk melupuskan mana-mana ikan, artikel, peranti, barang,vesel, pesawat udara atau apa-apa benda lain yang berhubungan dengannya apa-apa kesalahan telah dilakukan atau Agensi mempunyai sebab untuk mempercayai telah dilakukan;

(h) untuk menangkap mana-mana orang yang Agensi mempunyai sebab untuk mempercayai telah melakukan suatu kesalahan; dan

(i) untuk menyingkirkan mana-mana vesel yang Agensi mempunyai sebab untuk mempercayai akan memudaratkan kepentingan atau membahayakan ketenteraman dan kesejahteraan dalam Zon Maritim Malaysia.

(3) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), seseorang pegawai Agensi hendaklah mempunyai, bagi maksud Akta ini,semua kuasa yang boleh digunakan oleh mana-mana agensi yang berkaitan di bawah mana-mana undang-undang persekutuan yang terpakai di Zon Maritim Malaysia.

(4) Walau apa pun subseksyen (2), tiada vesel boleh diberhentikan,dimasuki, dinaiki, digeledah, diperiksa atau ditahan di dalam kawasan laut wilayah jika laluan vesel itu di dalam laut wilayah merupakan laluan ikhlas.

(5) Bagi maksud subseksyen (4) laluan sesuatu vessel merupakan laluan ikhlas jika dan selagi laluan vesel itu tidak memudaratkan keamanan, ketenteraman atau keselamatan Malaysia.

(6) Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis,bagi maksud subseksyen (5), aktiviti yang berikut hendaklah dianggap memudaratkan keamanan, ketenteraman dan keselamatan Malaysia:

(a) apa-apa ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap kedaulatan, keutuhan wilayah atau kemerdekaan politik Malaysia atau apa-apa perbuatan yang dengan apa-apa cara merupakan pelanggaran prinsip undang-undang antarabangsa;

(b) apa-apa penggunaan atau latihan dengan apa-apa jenis senjata;

(c) apa-apa perbuatan yang bermaksud untuk mengumpul maklumat yang memudaratkan pertahanan atau keselamatan Malaysia;

(d) apa-apa perbuatan propaganda yang bermaksud menjejaskan keamanan, pertahanan atau keselamatan Malaysia;

(e) pelancaran, pendaratan atau pengambilan naik mana-mana pesawat udara;

(f) pelancaran, pendaratan atau pengambilan naik mana-mana peralatan tentera;

(g) pemuatan atau pemunggahan apa-apa komoditi, mata wang atau orang yang bertentangan dengan undang-undang kastam, fiskal, imigresen atau kesihatan Malaysia;

(h) apa-apa perbuatan pencemaran;

(i) apa-apa aktiviti menangkap ikan;

(j) penjalanan aktiviti penyelidikan atau tinjauan tanpa kebenaran;

(k) apa-apa perbuatan yang bermaksud untuk mengganggu mana-mana sistem komunikasi atau mana-mana kemudahan atau pepasangan lain Malaysia; dan

(l) apa-apa aktiviti lain yang tiada kaitan secara langsung dengan laluan.


Bahagian IV


AM


Pendakwaan

8. Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis lain, jika seseorang ditangkap di bawah Akta ini, tiada pendakwaan boleh dimulakan terhadap orang itu kecuali oleh atau dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya.


Laporan status penyiasatan


9. (1) Mana-mana orang yang telah memberikan maklumat kepada Agensi di bawah mana-mana undang-undang persekutuan boleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia meminta suatu laporan tentang status penyiasatan kesalahan yang diadukan dalam maklumatnya itu daripada Agensi.

(2) Agensi hendaklah memberikan laporan status berkenaan dengan penyiasatan kesalahan itu kepada pemberi maklumat tidak lewat daripada dua minggu dari penerimaan permintaan itu yang dibuat di bawah subseksyen (1).

(3) Walau apa pun subseksyen (2), Agensi tidaklah dikehendaki memberikan laporan status tentang penyiasatan sesuatu kesalahan—

(a) melainkan jika kesalahan yang diadukan itu merupakan kesalahan boleh tangkap;

(b) melainkan jika tempoh empat minggu telah luput dari tarikh pemberian maklumat itu; dan

(c) yang mengandungi apa-apa perkara yang mungkin akan memudaratkan penyiasatan kesalahan itu atau pendakwaan kesalahan itu.

(4) Jika suatu permintaan telah dibuat di bawah subseksyen

(1) dan Agensi telah gagal untuk memberikan laporan status kepada pemberi maklumat dalam tempoh yang dinyatakan dalam subseksyen (2), tetapi tertakluk kepada subseksyen (3), pemberi maklumat itu boleh membuat laporan kepada Pendakwa Raya tentang kegagalan itu.

(5) A pabila menerima laporan di bawah subseksyen (4), Pendakwa Raya hendaklah mengarahkan Agensi supaya memberinya suatu laporan status yang terperinci tentang penyiasatan yang telah dijalankan oleh Agensi berhubung dengan kesalahan dalam maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat.

(6) Pendakwa Raya hendaklah menyebabkan supaya diberikan kepada pemberi maklumat, atau mengarahkan Agensi supaya memberi pemberi maklumat, suatu laporan status yang mengandungi apa-apa maklumat sebagaimana yang diarahkan oleh Pendakwa Raya.

(7) M ana-mana pegawai Agensi yang tidak mematuhi arahan Pendakwa Raya di bawah seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu bulan atau didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau kedua-duanya.


Perlindungan pegawai Agensi


10. Tiada tindakan boleh dibawa terhadap mana-mana pegawai Agensi berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau yang ditinggalkan daripada dilakukan olehnya dengan suci hati dalam melaksanakan atau yang berupa sebagai melaksanakan fungsi,kuasa dan kewajipannya di bawah Akta ini.


Pengenalan diri


11. Tiap-tiap pegawai Agensi semasa bertindak di bawah Akta ini hendaklah, apabila diminta, mengisytiharkan jawatannya dan mengemukakan kepada orang yang terhadapnya pegawai itu bertindak atau daripadanya pegawai itu meminta apa-apa maklumat kad kuasa yang dikeluarkan kepada pegawai itu di bawah Akta ini.


Membawa senjata


12. Seseorang pegawai Agensi boleh dalam melaksanakan tugastugasnya membawa senjata.


Pembolosan


13. (1) M ana-mana pegawai Agensi yang tanpa sebab yang munasabah, yang beban pembuktiannya terletak padanya, tidak menghadirkan dirinya selama tempoh dua puluh satu hari yang berterusan untuk menjalankan tugas atau dalam hal keadaan yang menunjukkan bahawa dia bertujuan untuk tidak kembali menjalankan tugasnya hendaklah disifatkan telah membolos, dan melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan.

(2) Jika seorang telah disabitkan di bawah seksyen ini, Pihak Berkuasa Tatatertibnya boleh mengarahkan supaya semua tunggakan gaji yang kena dibayar kepada orang itu dilucuthakkan.


Dahagi


14. Mana-mana pegawai Agensi yang menyebabkan, mengapikan,atau turut sama dalam apa-apa dahagi atau ketidaksetiaan terhadap Agensi atau berkomplot dengan mana-mana orang lain untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menyebabkan dahagi atau ketidaksetiaan itu, atau tidak berusaha dengan sedaya upayanya untuk menumpaskan mana-mana dahagi atau ketidaksetiaan itu atau, setelah mengetahui tentang apa-apa dahagi atau ketidaksetiaan atau dahagi atau ketidaksetiaan yang dicadangkan, tidak, tanpa berlengah-lengah, memberikan maklumat mengenai dahagi atau ketidaksetiaan itu kepada pegawai Agensi yang merupakan pegawai atasannya, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

Penalti kerana menyebabkan ketidaksetiaan


15. (1) Seseorang yang menyebabkan atau cuba untuk menyebabkan atau melakukan apa-apa perbuatan yang dikira akan menyebabkan ketidaksetiaan di kalangan pegawai Agensi, atau mendorong atau cuba untuk mendorong mana-mana pegawai sedemikian supaya tidak memberikan perkhidmatannya atau supaya melakukan pelanggaran tatatertib, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana pegawai Agensi boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang semunasabahnya disyaki telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini.

Penyelarasan


16. Agensi dan agensi-agensi yang berkaitan hendaklah membuat penyelarasan, berunding dan berhubung secara rapat antara satu sama lain dan memberikan bantuan kepada satu sama lain bagi melaksanakan peruntukan Akta ini.


Kuasa semasa darurat, krisis khas atau perang


17. (1) W alau apa pun mana-mana peruntukan Akta ini atau mana-mana undang-undang persekutuan lain, Agensi, atau mana-mana bahagian Agensi sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri, hendaklah di bawah perintah dan kawalan am Angkatan Tentera Malaysia semasa apa-apa tempoh darurat, krisis khas atau perang.

(2) Jika apa-apa keraguan berbangkit tentang sama ada suatu darurat, krisis khas atau perang telah berlaku, suatu proklamasi yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan dipamerkan di mana-mana tempat yang difikirkan patut oleh Menteri hendaklah menjadi bukti muktamad bagi fakta itu.


Perintah-perintah tetap


18. Ketua Pengarah boleh mengeluarkan perintah-perintah pentadbiran yang disebut “Perintah-Perintah Tetap”, yang selaras dengan peruntukan-peruntukan Akta ini, tentang kawalan am,latihan, tugas dan tanggungjawab pegawai-pegawai Agensi, dan bagi apa-apa perkara lain yang perlu atau suai manfaat untuk pentadbiran baik Agensi atau bagi mencegah penyalahgunaan kuasa atau pengabaian tugas, dan pada amnya untuk memastikan Agensi berfungsi dengan cekap dan berkesan.


Peraturan-peraturan


19. Menteri boleh membuat apa-apa peraturan yang perlu atau suai manfaat bagi memberi kesan sepenuhnya kepada atau bagi melaksanakan peruntukan-peruntukan Akta ini.