Al-Fiqh al-Akbar
by Abu Hanifah al-Nu'man ibn Thabit

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dasar ketauhidan dan apa yang menjadikan iman sahih, adalah dengan mengatakan bahawa:

  1. Saya percaya kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, kebangkitan sesudah mati, qadar - yang baik dan buruknya - hitungan amal perbuatan, neraca timbangan, syurga dan neraka; semuanya benar belaka
  2. Allah adalah satu, bukan dalam jalan angka, tetapi dalam cara bahawa Dia tiada sekutu - Katakanlah: Dia adalah Allah yang Maha Esa; Allah yang menjadi tempat bergantungan; Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan; tiada satu pun yang setara dengan-Nya. Dia tidak menyerupai sesuatu pun di kalangan makhluk-Nya, tidak pula sesuatu pun di kalangan makhluk-Nya yang menyerupai-Nya. Dia telah sentiasa kekal dan akan sentiasa kekal dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya, nama dan sifat-Nya itu berkait dengan zat-Nya dan perbuatan-Nya. Perkara yang berkait dengan zat-Nya ialah hayat, kuasa, pengetahuan, kata-kata, pendengaran, penglihatan dan kehendak. Perkara yang berkaitan dengan perbuatan-Nya ialah penciptaan, pemberian rezeki, pemulaan, pembuatan, pembentukan dan segala sifat perbuatan yang lain. Dia telah kekal dan akan kekal dengan sifat-sifat dan nama-nama-Nya; kedua-duanya bukan makhluk. Dia sentiasa mengetahui sejak azali dengan ilmu-Nya, dan ilmu-Nya adalah sifat azali. Dia sentiasa berkata-kata sejak azali dengan perkataan-Nya, dan perkataan-Nya adalah sifat azali. Dia sentiasa mencipta sejak azali dengan kuasa cipta-Nya, dan kuasa cipta-Nya adalah sifat azali. Dia sentiasa berbuat sejak azali dengan perbuatan-Nya, dan perbuatan-Nya adalah sifat azali; benda perbuatan-Nya adalah makhluk, dan perbuatan-Nya adalah bukan makhluk. Sifat-sifat-Nya wujud sejak azali, tidak dicipta atau diwujudkan pada saat tertentu. Sesiapa yang mengatakan bahawa semua sifat itu diciptakan atau diwujudkan pada saat tertentu, atau tidak yakin tentang sifat-sifat tersebut dan meraguinya, adalah seorang yang kafir terhadap Allah s.w.t
  3. Al-Quran adalah Kata-kata Allah yang ditulis di atas mushaf, terpelihara dalam dada manusia, dibaca oleh lisan manusia dan diturunkan kepada Rasul Allah s.a.w. Perbuatan melafazkan al-Quran adalah makhluk dan perbuatan membaca al-Quran adalah makhluk tetapi al-Quran itu sendiri bukanlah makhluk. Iaitu yang Allah sebut dalam al-Quran sebagai cerita daripada Nabi Musa dan nabi-nabi yang lain a.h dan juga daripada Firaun dan Iblis, semuanya adalah kata-kata Allah, dan mengandungi kisah berkenaan mereka. Kata-kata Allah bukan makhluk. Al-Quranlah sebagai kata-kata Allah yang bukan makhluk, bukannnya kata-kata mereka. Nabi Musa a.h mendengar kata-kata Allah sebagaimana Allah berfirman: "Allah bertutur kepada Musa". Oleh itu, Allah adalah penutur dan Nabi Musa tidak bertutur. Allah adalah pencipta sejak sebelum azali, sekalipun tanpa membawa makhluk kepada kewujudan: "tiada satu pun yang serupa dengan-Nya; Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat". Apabila Allah bertutur kepada Nabi Musa, Dia bertutur dengan kata-kata-Nya yang merupakan sifat yang wujud sejak sebelum azali seperti mana semua sifat-Nya, tidak seperti sifat-sifat makhluk.
  4. Allah mengetahui, tetapi bukan dengan cara yang kita mengetahui; Dia berkuasa, tetapi bukan dengan cara yang kita berkuasa; Dia melihat, tetapi bukan dengan cara yang kita melihat; Dia mendengar, tetapi bukan dengan cara yang kita mendengar; dan Dia berkata-kata, tetapi bukan dengan cara yang kita berkata-kata. Kita berkata-kata dengan cara anggota dan bunyi sebutan, manakala Allah a.z.w tidak berkata-kata dengan anggota atau bunyi. Bunyi adalah makhluk, dan kata-kata Allah a.z.w adalah bukan makhluk. Dia adalah satu zat, tetapi tidak serupa dengan zat yang lain; dengan mengatakan "zat", kita hanya bermaksud untuk mengesahkan hakikat-Nya. Dia tidak berjasad atau berjirim, tidak bersifat secara kebetulan, tidak mempunyai kesudahan, tiada sekutu mahupun bandingan atau saingan. Dia memiliki tangan, wajah dan jiwa (nafs); sebagaimana yang disebutkan Allah s.w.t. dalam al-Quran. Oleh itu, apa yang Allah sebutkan mengenai tangan, wajah dan diri-Nya adalah bermakna sifat-sifat-Nya tanpa perlu dipersoalkan kan "bagaimana" (bila kaifa). Tidak boleh mengatakan bahawa tangan-Nya mewakili kuasa (kudrat)-Nya atau nikmat-Nya kerana tafsiran sebegitu akan merosakkan sifat-Nya. Kenyataan sebegini adalah pendapat golongan Qadariyah dan Muktazilah. Akan tetapi, tangan-Nya adalah sifat-Nya, tanpa perlu dipersoalkan "bagaimana", begitu juga dengan kemurkaan dan keredhaan-Nya yang merupakan sifat-sifat-Nya tanpa perlu dipersoalkan "bagaimana". Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Dia mempunyai ilmu mengenai sesuatu itu sejak azali sebelum penciptaan mereka.
  5. Dialah yang menentukan dan mentaqdirkan segalanya. Tiada satu pun yang akan wujud di dunia ini atau di akhirat melainkan dengan iradat-Nya, ilmu-Nya, qada' dan qadar-Nya, serta melainkan ia tertulis di atas Lauh al-Mahfuz. Dia mencatatkan segalanya di situ secara pensifatan dan bukannya taqdir. Ketentuan, taqdir dan iradat adalah sifat-sifat sebelum azali bagi modus yang tidak diketahui. Allah Ta'ala mengetahui sesuatu ketidakwujudan ketika ia masih dalam keadaan tidak wujud, menjadi wujud. Dan Dia juga mengetahui bagaimana ia menghilang. Allah mengetahui seseorang yang berdiri, akan duduk ketika dia duduk, dan dengan itu tanpa sebarang perubahan berlaku dalam pengetahuan Allah, atau sebarang pengetahuan baru yang berakru kepada-Nya. Ini kerana perubahan dan pindaan hanya berlaku pada makhluk.
  6. Allah Ta'ala mencipta makhluk yang bebas daripada keimanan dan kekufuran, dan kemudian Dia memberikan perintah dan larangan kepada makhluk-Nya. Sebahagian orang mengingkarinya dengan penafian dan penolakan yang kuat terhadap kebenaran oleh sebab ditinggalkan Allah Ta'ala. Sebahagian yang lain beriman dengan penerimaan dan pengakuan yang kuat oleh sebab pertolongan Allah Ta'ala. Dia mengeluarkan keturunan Adam alayhissalam daripada sulbinya dalam bentuk benih kecil dan membekalkan mereka dengan akal. Kemudian Dia menyeru mereka dan menyuruh mereka beriman [pada-Nya] dan menegah mereka mengingkari[-Nya]. Mereka akur pada kekuasaan-Nya, ini merupakan bentuk keimanan yang sewajarnya bagi mereka, dan dengan demikian bahawa mereka dilahirkan dalam keadaan tertakluk pada fitrah azali yang ditetapkan dengan keimanan. Sesiapa yang kufur sesudah itu maka dia mengubah fitrah azali tersebut, dan sesiapa yang beriman dan akur maka dia mengakui dan mengukuhkannya. Tiada makhluk ciptaan-Nya yang dipaksa kufur atau beriman; Allah menciptakan manusia bukan sebagai mukmin atau kafir tetapi sebagai orang. Keimanan dan kekufuran adalah perbuatan hamba-hamba Allah. Allah Ta'ala mengetahui si kafir akan menjadi kafir dalam keadaan kekafirannya, dan sesudah itu dia menjadi mukmin, kemudian Allah mengetahui dia menjadi mukmin dalam keadaan keimanan tanpa sebarang perubahan yang berlaku dalam ilmu-Nya dan sifat-Nya. Semua amal perbuatan hamba Allah, samada suruhan mahupun kelalaian, hakikatnya diperolehi mereka; Allah Ta'ala adalah pencipta mereka. Semua mereka berlaku dengan iradat, ilmu, qada' dan qadar-Nya. Kewajipan taat dan ibadat berlaku dengan perintah, kasih sayang, keridhaan, ilmu, iradat, qada dan qadar Allah Ta'ala, dan semua hakikat kederhakaan yang berdosa berlaku dengan ilmu, qada', qadar dan iradat-Nya, tetapi bukan dengan kasih sayang, keridhaan dan perintah-Nya.
  7. Para Nabi alayhimussalam adalah maksum daripada segala dosa, baik kecil ataupun besar, daripada kekufuran, dan daripada segala perkara yang bertentangan [dengan perintah Allah]. Bagaimana pun, adalah mungkin mereka kesilapan atau kesalahan kecil. Muhammad Rasulullah sallallahu alayhi wassalama adalah nabi-Nya, hamba-Nya, pesuruh-Nya dan orang pilihan-Nya. Baginda tidak pernah menyembah berhala, menyekutukan Allah walau sesaat, dan baginda tidak pernah berbuat dosa kecil atau besar.
  8. Orang yang paling mulia selepas Rasulullah sallallahu alayhi wasallama adalah Abu Bakr al-Siddiq radiyahu anhu; kemudian Umar ibn al-Khattab; kemudian Utsman ibn Affan; kemudian Ali ibn Abi Talib radiyahu anhum. Mereka berpegang teguh pada kebenaran, dengan kebenaran, dan kami menyatakan baiah kami kepada mereka semua. Kami mengatakan hanya perkara yang baik mengenai para Sahabat Rasulullah radiyahu anhum.
  9. Kami tidak mengkafirkan seseorang Muslim kerana dosanya, melainkan dia menyatakan dosanya itu halal. Dia tidak kehilangan nama imannya, pada dasarnya kami akan terus memanggilnya orang yang beriman. Adalah mungkin menjadi mukmin yang berdosa tanpa menjadi kafir. Menyapu kasut ketika berwuduk adalah sunnah. Begitu juga dengan solat tarawih dalam bulan Ramadhan adalah sunnah. Adalah harus bersolat di belakang mana-mana mukmin, samada salih atau fasik. Kami tidak mengatakan bahawa dosa tidak memudaratkan mukmin, atau dosa itu menyebabkan mukmin kekal di dalam neraka, sekali pun dia meninggal dunia dalam keadaan berdosa.
  10. Kami tidak mengatakan seperti orang Murji'ah bahawa amal yang baik diterima Allah dan amal buruk diampunkan Allah. Sebaliknya kami mengatakan bahawa perkara tersebut dijelaskan dan dihuraikan seperti berikut: barang siapa melakukan amal yang baik sejajar dengan semua syarat yang diperlukan, bebas daripada kekurangan yang merosakkan dan perkara yang membatalkan dan kemudian tidak membatalkan amalannya dengan kekafiran atau kemurtadan pada sebarang masa sebelum ajal menjelma, Allah Ta'ala tidak akan mensia-siakan amalannya; sebaliknya Dia akan menerimanya dan memberi balasan yang baik kepadanya. Bagi amal yang buruk -selain menyekutukan Allah dan menjadi kafir- yang tidak ditaubati sebelum ajal menjelma, iradat Allah boleh sahaja memilih untuk menghukum pelakunya atau mengampunnya tanpa menghukumnya di dalam api neraka. Kemunafikan dan ketakburan dalam sebarang amalan menghapuskan pahalanya.
  11. Mukjizat yang dikurniakan kepada para nabi adalah benar, dan juga karamat yang berlaku ke atas para wali. Bagi kejadian-kejadian yang nampaknya ajaib dan mengagumkan yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah, seperti Iblis, Firaun dan Dajjal, apa sahaja yang disebutkan dalam hadith yang akan dilakukan mereka pada masa hadapan, adalah bukan perkara yang ajaib atau mengagumkan. Sebaliknya ia adalah persoalan mengenai perbuatan mereka ditunaikan Allah Ta'ala; Dia melakukan perkara ini untuk membawa mereka ke arah kebinasaan dan untuk menghukum mereka, namun mereka tertipu. Keingkaran dan kekafiran mereka bertambah. Semua perkara di atas ini adalah mungkin dan berbetulan dengan iradat Allah.
  12. Allah Ta'ala adalah Pencipta sebelum Dia mencipta, dan Pemberi rezeki sebelum dia memberi rezeki. Allah Ta'ala akan dilihat di Akhirat, dapat dilihat oleh mukmin di dalam syurga melalui penglihatan jasmani. Kami mengatakan perkara ini tanpa melibatkan antropomorfisme atau tanggapan mengenai sifat atau zat, kerana tidak wujud jarak tetap antara-Nya dengan ciptaan-Nya.
  13. Iman bererti penerimaan dan pengakuan. Iman tidak bertambah atau berkurang, samada bagi malaikat atau manusia, tetapi hanya tahap kepastian dan pengakuan yang terbabit. Semua mukmin adalah setara dalam apa yang mereka percaya dan dalam kesaksian mereka mengenai tawhid, tetapi berbeza dari segi tahap kecemerlangan amalan mereka. Islam ialah penyerahan diri dan ketundukan kepada perintah Allah Ta'ala. terdapat perbezaan leksikal antara iman dan Islam, tetapi tidak wujud iman tanpa Islam, dan Islam tidak dapat dibayangkan tanpa iman. Kedua-duanya seumpama aspek luaran dan dalaman sesuatu benda. Al-Din ialah satu nama bagi iman dan Islam, dan bagi seluruh hukum-hukum Ilahi. Kami mengetahui Allah sebagai yang layak bagi kami mengetahui-Nya melalui penggambaran-Nya mengenai diri-Nya dalam Kitab-Nya, dengan semua sifat-Nya; tetapi tiada soerang pun yang mampu menyembah Allah Ta'ala sebagai yang layak Dia disembah dan sebagai yang sesuai bagi-Nya. Sebaliknya manusia menyembah Allah Ta'ala selaras dengan perintah-Nya, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya. Walaupun semua mukmin adalah setara setakat apa yang mereka percaya, mereka berbeza dari segi pengetahuan, kepastian, pergantungan, cinta, keredhaan, ketakutan dan pengharapan.
  14. Allah Ta'ala adalah Maha Pemurah dan Maha Adil terhadap hamba-hamba-Nya, mengurniakan balasan melebihi apa yang layak bagi mereka dengan kemurahan hati-Nya. Dia memberi hukuman kerana dosa-dosa mereka disebabkan keadilan-Nya, dan mengampuni mereka disebabkan kemurahan hati-Nya. Syafa'at para Nabi alayhimussalam adalah benar dan khususnya Nabi kita sallallahu alayhi wasallama kerana mukmin yang berdosa dan bagi mereka melakukan dosa besar patut dihukum adalah hakikat terbukti kukuh. Timbangan amalan di atas neraca pada Hari Kiamat juga adalah benar, kolam Rasulullah sallallahu alayhi wasallama adalah benar, hukuman terhadap musuh-musuh pada Hari Kiamat melalui pengagihan semula amalan baik adalah benar. Jika mereka tidak mempunyai amalan baik, maka bebanan amalan buruk akan diagihkan semula; ini juga adalah benar. Syurga dan neraka adalah makhluk dan wujud pada masa kini serta tidak akan lenyap. Bidadari tidak akan lenyap, dan balasan buruk yang ditimpakan Allah dan balasan baik yang dikurniakan-Nya tidak akan terputus. Allah Ta'ala memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya dengan kemurahan hati-Nya, dan Dia menyesatkan sesiapa sahaja dikehendaki-Nya dengan keadilan-Nya. Penyesatan Allah terhadap manusia terdiri daripada pengabaian-Nya terhadap mereka dan makna pengabaian Allah terhadap manusia adalah tidak mendorongnya melakukan apa yang disukai-Nya. Semua ini ditentukan dengan keadilan-Nya. Haram bagi kita mengatakan "Syaitan mencuri iman daripada manusia dengan kekerasan dan paksaan." Kita sepatutnya mengatakan "Manusia itu sendiri yang mengabaikan iman, dan apabila dia mengabaikan iman kemudian barulah syaitan merampasnya daripada manusia itu." Soalan oleh Munkar dan Nakir adalah benar, kepulangan roh ke dalam jasad di dalam kubur adalah benar, azab kubur adalah benar, hukuman Allah ke atas semua orang kafir dan sebahagian orang Islam adalah benar. Semua sifat Allah Ta'ala dapat disebutkan oleh ulama dalam bahasa selain bahasa Arab kecuali yad (tangan). Dengan demikian kita mungkin dapat mengatakan "wajah Allah" subhanahu wa ta'ala tanpa membabitkan antropomorfisme atau penjasadan tertentu. Dekatnya dengan Allah Ta'ala dan jauhnya daripada-Nya tidak merujuk pada sebarang jarak ruang, besar atau kecil, atau merujuk pada bangsawan atau marhaen dalam pandangan-Nya. Sebaliknya seseorang yang taat pada-Nya adalah dekat dengan-Nya dalam bentuk yang sukar diterangkan. Kedekatan, kejauhan hakikatnya merujuk pada tindakan Allah terhadap manusia. Kehampiran dengan Allah di dalam syurga dan berdiri di hadapan-Nya juga adalah benar dalam bentuk yang sukar diterangkan. Al-Quran diturunkan kepada Rasul-Nya sallallahu alayhi wasallama dan ia adalah yang dicatatkan kini di atas himpunan lembaran. Ayat-ayat al-Quran yang merupakan kalamullah adalah setara dari segi keunggulan dan keagungan, bagaimana pun, sebahagiannya mempunyai keunggulan ke atas kedua-dua perkiraan:apa yang disebutnya-kemegahan, keagungan dan sifat-sifat Allah yang lain- dan cara ia menyebutkannya. Ayat-ayat lain tidak mempunyai keunggulan disebabkan apa yang disebutkannya-umpamanya, ayat-ayat yang mengandungi kisah orang-orang kafir-tetapi hanya disebabkan cara ia sebutkannya. Demikian juga dengan semua nama dan sifat adalah setara dari segi keagungan dan keunggulan; tiada perbezaan antaranya. Jika seseorang mengalami kesusahan dengan ketakketaraan terhadap ilmu tawhid, adalah wajib baginya untuk mempercayai apa yang betul pada pandangan Allah Ta'ala sehinggalah dia menemui seorang alim untuk dirujuki. Dia tidak patut melengahkan masa mencari orang alim itu kerana sikap teragak-agak dan penangguhan kesimpulan mungkin mengakibatkan kekafiran. Kisah Mi'raj adalah benar dan sesiapa yang menolaknya adalah sesat dan ahli bidaah. Kemunculan Dajjal dan Ya'juj wa Ma'juj adalah benar, terbitnya matahari dari arah barat adalah benar, turunnya Isa alayhissalam dari langit adalah benar, semua tanda-tanda kiamat lain seperti yang terkandung dalam hadith-hadith sahih adalah juga benar.

Dan Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan-Nya.