Hadis Riwayat Muslim

Hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim.”

Dari Abu Ayyub al-Anshari r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa.”

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang meminjamkan untanya kepada satu keluarga untuk diperah susunya pagi dan petang maka pahalanya sungguh sangat besar.”

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”satu jenazah berlalu di hadapan Rasulullah s.a.w lalu baginda berdiri. Kami pun berdiri juga mengikut baginda. Kemudian kami berkata:”Ya rasulullah! Itu jenazah orang Yahudi.” Sabda baginda:”Kematian itu mengejutkan. Oleh itu bila kamu melihat jenazah (lalu) berdirilah.”

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang mendapatkan Subuh satu rakaat sebelum terbit matahari, bererti dia telah mendapatkan Subuh seutuhnya. Dan sesiapa yang mendapatkan Asar satu rakaat sebelum matahari terbenam, bererti dia telah mendapatkan Asar seutuhnya.”

Dari Abu Hurairah r.a, katanya:”Rasulullah s.a.w melihat kahak di kiblat masjid. Lalu baginda menghadap kepada orang ramai lalu bersabda:”Bagaimana pendapat kamu semua jika seseorang sedang solat menghadap Tuhannya, lalu dia meludah ke hadapan? Senangkah kamu jika kamu sedang dihadapi seseorang, tiba-tiba orang itu meludahi mukamu? Kerana itu jika kamu meludah ketika solat, maka ludahlah ke kiri atau ke bawah kakimu. Jika itu tidak mungkin, ludahlah ke sapu tanganmu.”

Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Aku dibawa orang (Jibril a.s) ke telaga zamzam; di sana dadaku dibelah kemudian dibersihkan dengan air zamzam, sesudah itu aku dihantarkannya kembali ke tempatku semula.”

Dari Ibnu ‘Umar r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak diterima solat seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang berasal daripada kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang, merompak, judi dan sebagainya)”