Page:Akta Hak Cipta 1987.pdf/103

This page has been validated.
103
Hak Cipta


tersebut dilepaskan atau dirampas atau merujukkan perkara itu kepada mahkamah untuk diputuskan.

(6) Mahkamah yang kepadanya perkara itu dirujuk hendaklah mengeluarkan saman menghendaki orang yang menegaskan bahawa dia adalah pemunya artikel, kenderaan, buku, dokumen, salinan atau perekaan tersebut dan kepada orang yang daripadanya artikel, kenderaan, buku, dokumen, salinan atau perekaan tersebut telah disita untuk menghadirkan diri di hadapan mahkamah dan apabila dia memasukkan kehadirannya ataupun ingkar untuk memasukkan kehadirannya yang mana telah terbukti bahawa saman dihantar sewajarnya, mahkamah hendaklah meneruskan pemeriksaan mengenai perkara itu dan apabila terbukti sesuatu kesalahan telah dilakukan di bawah Akta ini atau perundangan subsidiari yang dibuat di bawahnya dan artikel, kenderaan, buku, dokumen, salinan atau perekaan tersebut adalah perkara atau telah digunakan untuk melakukan kesalahan itu, hendaklah mengarah supaya artikel, kenderaan, buku, dokumen, salinan atau perekaan itu dirampas atau boleh, jika ketiadaan bukti tersebut, mengarah supaya artikel, kenderaan, buku, dokumen, salinan atau perekaan itu dilepaskan kepada yang berhak kepadanya.

(7) Apa-apa artikel, kenderaan, buku, dokumen, salinan atau perekaan yang dirampas atau disifatkan telah dirampas hendaklah diserahkan kepada Pengawal yang hendaklah melupuskannya mengikut cara yang difikirkannya patut atau menyerahkannya kepada pemunya hak cipta yang pertama, pemegang serah hak atau pemegang lesen eksklusif, mengikut mana-mana yang berkenaan.


Pemeriksaan berkadar artikel telah disita diterima


55. (1) Jika bungkusan atau bekas mengandungi salinan yang disyaki adalah salinan langgaran atau selainnya boleh kena disita telah disita, maka adalah mencukupi untuk membuka dan memeriksa hanya satu peratus atau mana-mana lima salinan, yang mana lebih kurang, kandungan tiap-tiap bungkusan atau bekas yang disita itu.

(2) Mahkamah hendaklah menganggap bahawa salinan yang selebihnya dalam bungkusan atau bekas itu adalah dari jenis yang sama dengan salinan yang telah diperiksa.