Page:Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.pdf/48

This page has been validated.
48
AKTA 30
Undang-Undang Malaysia


(e) seorang profesor Universiti yang dipilih oleh Senat daripada kalangan ahli yang disebut dalam perenggan 17(d); dan
(f) lima orang yang terdiri daripada tiga orang daripada sektor swasta, seorang daripada alumni Universiti dan seorang lagi dari dalam atau luar Universiti yang, pada pendapat Menteri, mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang boleh membantu Lembaga.

(2) Timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Bursar dan Penasihat Undang-Undang hendaklah menjadi ahli ex-officio Lembaga tetapi tidak berhak untuk mengundi dalam mesyuarat Lembaga.

(3) Tertakluk kepada kelulusan Menteri, setiap ahli yang dilantik di bawah perenggan (1)(c) boleh melantik seorang ahli silih ganti untuk menghadiri mesyuarat Lembaga jika ahli itu tidak dapat hadir atas apa-apa sebab.

(4) Apabila menghadiri mesyuarat Lembaga, seseorang ahli silih ganti hendaklah bagi segala maksud disifatkan sebagai ahli Lembaga.


Peruntukan yang berhubungan dengan Lembaga


14. (1) Pelantikan ahli Lembaga, kecuali Naib Canselor, hendaklah dibuat oleh Menteri bagi tempoh tiga tahun dan apabila habis tempoh itu ahli Lembaga itu layak dilantik semula.

(1A) Tempoh ahli yang dilantik di bawah perenggan 13(1)(e) hendaklah bagi selama tempoh keanggotaannya dalam Senat.

(2) Pendaftar hendaklah menjadi Setiausaha Lembaga.

(3) Pengerusi dan empat ahli lain tidak termasuk ahli ex-officio Lembaga hendaklah membentuk kuorum bagi apa-apa mesyuarat Lembaga.

(4) Ahli Lembaga hendaklah dibayar apa-apa saraan atau elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri.

(5) Tertakluk kepada Perlembagaan ini, Lembaga boleh menentukan tatacaranya sendiri.


Penjalanan sementara fungsi Pengerusi


15. (1) Menteri boleh melantik mana-mana ahli Lembaga, selain Naib Canselor, untuk menjalankan fungsi Pengerusi semasa apa-apa tempoh yang Pengerusi kerana apa-apa sebab tidak dapat menjalankan fungsinya atau semasa apa-apa tempoh kekosongan dalam jawatan Pengerusi.