Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Kebebasan Asasi

Perkara 5. Kebebasan diri

(1) Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang

(2) Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.

(3) Jika seseorang ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu) dibawa ke hadapan majistret dan orang itu tidak boleh ditahan dalam jagaan selanjutnya tanpa kebenaran majistret itu:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi penangkapan atau penahanan mana-mana orang di bawah undang-undang yang sedia ada yang berhubungan dengan kediaman terhad, dan kesemua peruntukan Fasal ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Perkara ini mulai dari hari Merdeka:

Dengan syarat selanjutnya bahawa dalam pemakaiannya bagi seseorang, selain seorang warganegara, yang ditangkap atau ditahan di bawah undang-undang yang berhubungan dengan imigresen, Fasal ini hendaklah dibaca seolah-olah perkataan "tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu)" telah digantikan dengan perkataan "dalam tempoh empat belas hari":

Dan dengan syarat selanjutnya bahawa dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah Syariah, sebutan dalam Fasal ini mengenai majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan mengenai hakim mahkamah Syariah.

Perkara 6. Keabdian dan kerja paksa dilarang.

(1) Tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi.

(2) Segala bentuk kerja paksa adalah dilarang, tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan mengenai perkhidmatan wajib bagi maksud-maksud negara.

(3) Kerja atau khidmat yang dikehendaki daripada mana-mana orang sebagai akibat daripada sesuatu sabitan atau dapatan bahawa dia bersalah di mahkamah tidaklah dikira sebagai kerja paksa mengikut pengertian Perkara ini, dengan syarat kerja atau khidmat itu dijalankan di bawah pengawasan dan kawalan suatu pihak berkuasa awam.

(4) Jika menurut mana-mana undang-undang bertulis kesemua atau mana-mana bahagian daripada fungsi mana-mana pihak berkuasa awam dikehendaki dijalankan oleh suatu pihak berkuasa awam yang lain, bagi maksud membolehkan fungsi-fungsi itu dilaksanakan, maka pekerja-pekerja pihak berkuasa awam yang mula-mula disebut adalah terikat untuk berkhidmat dengan pihak berkuasa awam yang kedua disebut, dan perkhidmatan mereka dengan pihak berkuasa awam yang kedua disebut itu tidaklah dikira sebagai kerja paksa mengikut pengertian Perkara ini, dan tiada seorang pun pekerja itu berhak menuntut apa-apa hak sama ada daripada pihak berkuasa awam yang mula-mula disebut atau kedua disebut itu oleh sebab pertukaran pekerjaannya.

Perkara 7. Perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang.

(1) Tiada seorang pun boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan atau peninggalan yang tidak boleh dihukum menurut undang-undang pada masa perbuatan atau peninggalan itu dilakukan atau dibuat, dan tiada seorang pun boleh menanggung hukuman yang lebih berat kerana sesuatu kesalahan daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan.

(2) Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya itu.

Perkara 8. Kesamarataan.

(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.

(3) Tidak boleh ada diskriminasi yang memihak kepada mana-mana orang atas alasan bahawa dia seorang rakyat Raja bagi mana-mana Negeri.

(4) Tiada pihak berkuasa awam boleh mendiskriminasikan mana-mana orang atas alasan bahawa dia bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana bahagian Persekutuan di luar bidang kuasa pihak berkuasa itu.

(5) Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang—

(a) apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri;
(b) apa-apa peruntukan atau amalan yang mengehadkan jawatan atau pekerjaan yang berkaitan dengan hal ehwal mana-mana agama, atau sesuatu institusi yang diuruskan oleh sekumpulan orang yang menganuti mana-mana agama, kepada orang yang menganuti agama itu;
(c) apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau pemajuan orang asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah) atau perizaban bagi orang asli suatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam;
(d) apa-apa peruntukan yang menetapkan kemastautinan di sesuatu Negeri atau di sebahagian sesuatu Negeri sebagai suatu kelayakan bagi pemilihan atau pelantikan kepada mana-mana pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa hanya di Negeri atau di bahagian itu sahaja, atau bagi pengundian dalam pemilihan itu;
(e) apa-apa peruntukan Perlembagaan sesuatu Negeri, yang adalah atau yang bersamaan dengan suatu peruntukan yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka;
(f) apa-apa peruntukan yang mengehadkan pengambilan masuk tentera ke dalam Rejimen Askar Melayu kepada orang Melayu.

Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak.

(1) Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan.

(2) Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam, atau penghukuman pesalah, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.

(3) Selagi mana-mana Negeri lain berada dalam kedudukan istimewa di bawah Perlembagan ini berbanding dengan Negeri-Negeri Tanah Melayu, Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan-sekatan, antara Negeri itu dengan Negeri-Negeri yang lain, ke atas hak-hak yang diberikan oleh Fasal (2) berkenaan dengan pergerakan dan kemastautinan.

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—

(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—

(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;
(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;
(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Perkara 11. Kebebasan beragama.

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—

(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.

(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir—

(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).

(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Perkara 13. Hak terhadap harta.

(1) Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(2) Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.