Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Persekutuan


Bab 1 - Ketua Utama Negara edit

Perkara 32. Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isterinya. (1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.

(2) Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.

(3) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja atau boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti memegang jawatan apabila terhenti menjadi Raja.

(4) Peruntukan Bahagian I dan III Jadual Ketiga hendaklah terpakai bagi pemilihan dan pemecatan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 33. Timbalan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan.

(1) Maka hendaklah ada seorang Timbalan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan (digelar Timbalan Yang di-Pertuan Agong) yang hendaklah menjalankan fungsi dan mempunyai keistimewaan Yang di-Pertuan Agong selama apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong dan selama apa-apa tempoh semasa Yang di-Pertuan Agong tidak dapat menjalankan fungsi jawatannya kerana sakit, tidak ada di dalam Persekutuan atau kerana apa-apa sebab lain, tetapi Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi itu semasa Yang di-Pertuan Agong tidak berdaya atau tidak ada di dalam Persekutuan selama tempoh yang dijangka kurang daripada lima belas hari, melainkan jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah perlu atau suai manfaat untuk menjalankan fungsi itu.

(2) Timbalan Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, atau jika dipilih dalam tempoh yang baginya Yang di-Pertuan Agong dipilih, bagi baki tempoh itu, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti memegang jawatan apabila terhenti menjadi Raja.

(3) Jika dalam tempoh yang baginya Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu dipilih berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong, maka tempoh jawatannya hendaklah tamat apabila kekosongan itu diisi.

(4) Peruntukan Bahagian II Jadual Ketiga hendaklah terpakai bagi pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

(5) Parlimen boleh melalui undang-undang[1] membuat peruntukan supaya fungsi Yang di-Pertuan Agong dijalankan oleh seorang Raja dalam hal jika fungsi itu kena menurut Fasal (1) dijalankan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak dapat dijalankan sedemikian kerana jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kosong atau kerana Timbalan Yang di-Pertuan Agong sakit, tidak ada di dalam Persekutuan atau kerana apa-apa sebab lain; tetapi undang-undang sedemikian tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Perkara 33A. Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan.

(1) Jika Yang di-Pertuan Agong dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV dia hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong.

(2) Tempoh Yang di-Pertuan Agong terhenti, di bawah Fasal (1), menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong hendaklah disifatkan menjadi sebahagian daripada tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan dalam Fasal (3) Perkara 32.

Perkara 34. Ketidakbolehan Yang di-Pertuan Agong, dsb.

(1) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsinya sebagai Raja Negerinya kecuali fungsinya sebagai Ketua agama Islam.

(2) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang baginya ada apa-apa saraan.

(3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersil.

(4) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menerima apa-apa jua jenis emolumen yang kena dibayar atau terakru kepadanya sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negeri itu atau peruntukan mana-mana undang-undang Negeri.

(5) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh, tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan selama lebih daripada lima belas hari, kecuali semasa lawatan Negara ke suatu negara lain.

(6) Fasal (2) dan (3) hendaklah juga terpakai bagi Raja Permaisuri Agong.

(7) Jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh undang-undang menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong selama tempoh melebihi lima belas hari, maka Fasal (1) hingga (5) hendaklah terpakai baginya sepanjang tempoh itu sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai bagi Yang di-Pertuan Agong.

(8) Tiada apa-apa jua dalam Fasal (1) boleh menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada menjalankan apa-apa kuasa yang terletak hak padanya sebagai Raja Negerinya sama ada berseorangan atau bersama-sama dengan mana-mana pihak berkuasa lain—

(a) bagi meminda Perlembagaan Negeri itu; atau
(b) bagi melantik seorang Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja sebagai ganti mana-mana Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang telah mati atau yang tidak berupaya kerana apa-apa sebab untuk masing-masing melaksanakan tugas jawatan Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja.

Perkara 35. Peruntukan Diraja bagi Yang di-Pertuan Agong dan Isterinya dan saraan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

(1) Parlimen hendaklah melalui undang-undang[2] memperuntukkan suatu Peruntukan Diraja bagi Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah termasuk peruntukan untuk membayar anuiti kepada Raja Permaisuri Agong, dan Peruntukan Diraja itu hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan dan tidak boleh dikurangkan semasa Yang di-Pertuan Agong memegang jawatannya.

(2) Parlimen hendaklah melalui undang-undang[3] membuat peruntukan bagi saraan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh undang-undang untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong selama apa-apa tempoh semasa dia menjalankan fungsi itu, dan saraan yang diperuntukkan menurut Fasal ini hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

Perkara 36. Mohor Besar.

Yang di-Pertuan Agong hendaklah menyimpan dan menggunakan Mohor Besar Persekutuan.[4]

Perkara 37. Sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsinya mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau semasa ketiadaannya dengan kehadiran hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada); dan sumpah itu hendaklah diakusaksikan oleh dua orang yang dilantik bagi maksud itu oleh Majlis Raja-Raja.

(2) Timbalan Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsinya, selain fungsi yang boleh dijalankan bagi maksud memanggil Majlis Raja-Raja bermesyuarat, mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau semasa ketiadaannya dengan kehadiran hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada).

(3) Sumpah tersebut, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Keempat.

(4) Apa-apa undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (5) Perkara 33 hendaklah membuat peruntukan yang bersamaan dengan Fasal (2) (dengan ubah suaian yang perlu).

Bab 2 - Majlis Raja-Raja edit

Perkara 38. Majlis Raja-Raja.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan mengikut Jadual Kelima.

(2) Majlis Raja-Raja hendaklah menjalankan fungsinya bagi—

(a) memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Jadual Ketiga;
(b) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;
(c) memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang di bawah Perlembagaan ini dikehendaki diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;
(d) melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;
(e) memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,

dan boleh menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut.

(3) Apabila Majlis Raja-Raja menimbang teliti perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka; dan penimbangtelitian itu adalah antara fungsi yang dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri, dan oleh Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri itu mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan mereka.

(4) Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

(5) Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.

(6) Anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) memilih Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya, atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong;
(b) memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan;
(c) memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja;
(d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;
(e) pelantikan anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; atau
(f) memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.

(7) (Dimansuhkan).

Bab 3 - Badan Eksekutif edit

Perkara 39. Kuasa eksekutif Persekutuan.

Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Perkara 40 - Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

(1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

(3) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain—

(a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;
(b) fungsi yang berkenaan dengan penjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.

Perkara 41. Pemerintah tertinggi angkatan tentera.

Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan.

Perkara 42. Kuasa pengampunan, dsb.

(1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.

(2) Tertakluk kepada Fasal (10), dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan yang berhubungan dengan peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan bolehlah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu telah dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau oleh mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dan dalam apa-apa hal lain, kuasa itu bolehlah dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri tempat kesalahan itu telah dilakukan.

(3) Jika sesuatu kesalahan telah dilakukan keseluruhannya atau sebahagiannya di luar Persekutuan atau di lebih daripada satu Negeri atau dalam hal keadaan yang boleh menimbulkan keraguan di mana kesalahan itu telah dilakukan, maka bagi maksud Perkara ini kesalahan itu hendaklah dikira telah dilakukan di Negeri tempat kesalahan itu telah dibicarakan. Bagi maksud Fasal ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah masing-masingnya dikira sebagai suatu Negeri.

(4) Kuasa yang disebut dalam Perkara ini—

(a) adalah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, antara fungsi yang peruntukan berkenaan dengannya boleh dibuat oleh undang-undang persekutuan di bawah Fasal (3) Perkara 40;
(b) hendaklah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri, dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu mengikut Fasal (5).

(5) Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap Negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri Negeri itu dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri; tetapi Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa melalui surat cara secara bertulis mewakilkan fungsinya sebagai anggota Lembaga itu kepada mana-mana orang lain, dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri boleh melantik mana-mana orang untuk menjalankan buat sementara fungsi mana-mana anggota Lembaga yang dilantik olehnya yang tidak hadir atau tidak dapat menjalankan fungsinya.

(6) Anggota Lembaga Pengampunan yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri hendaklah dilantik bagi tempoh selama tiga tahun dan layak dilantik semula, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan sebagai anggota Lembaga.

(7) Seseorang ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri atau ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri untuk menjadi anggota Lembaga Pengampunan atau untuk menjalankan buat sementara fungsi anggota Lembaga.

(8) Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Raja atau Yang di-Pertua Negeri dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri itu hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(9) Sebelum memberikan nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.

(10) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara ini, kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan, atau untuk meremitkan, menggantung atau meringankan, hukuman yang dikenakan oleh mana-mana mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang yang mengawal selia hal ehwal agama Islam di Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bolehlah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam di dalam Negeri itu.

(11) Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan di bawah Fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai "Raja atau Yang di-Pertua Negeri" hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai "Ketua Menteri Negeri itu" hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

(12) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, jika kuasa yang disebut dalam Perkara ini—

(a) kena dijalankan oleh Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri dan dikehendaki dijalankan berkenaan dengan dirinya atau isterinya, anak lelakinya atau anak perempuannya, kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu di bawah Perkara ini dan yang hendaklah dipengerusikan olehnya;
(b) dikehendaki dijalankan berkenaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja sesuatu Negeri, atau Isterinya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Majlis Raja-Raja dan peruntukan yang berikut hendaklah terpakai:
(i) apabila menghadiri mana-mana prosiding di bawah Fasal ini, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disertai oleh Perdana Menteri dan Raja-Raja lain tidak boleh disertai oleh Menteri-Menteri Besar mereka;
(ii) sebelum membuat keputusannya tentang apa-apa perkara di bawah Fasal ini, Majlis Raja-Raja hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah diberikan oleh Peguam Negara tentang perkara itu;
(c) dikehendaki dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri berkenaan dengan anak lelakinya atau anak perempuannya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Raja sesuatu Negeri yang dinamakan oleh Majlis Raja-Raja dan Raja itu hendaklah bertindak mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang berkenaan yang ditubuhkan di bawah Perkara ini.

(13) Bagi maksud perenggan (b) dan (c) Fasal (12), Yang di-Pertuan Agong atau Raja Negeri yang berkenaan, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi anggota Majlis Raja-Raja.

Perkara 43. Jemaah Menteri.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam: penjalanan fungsinya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;

tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

(3) Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.

(4) Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(5) Tertakluk kepada Fasal (4), Menteri-Menteri selain Perdana Menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, melainkan jika pelantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya.

(6) Sebelum seseoraag Menteri menjalankan fungsi jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong sumpah jawatan dan sumpah setia dan juga sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.

(7) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara ini, seseorang yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17 tidak boleh dilantik menjadi Perdana Menteri.

(8) (Dimansuhkan).

(9) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan anggota Jemaah Menteri.

Perkara 43A. Timbalan-Timbalan Menteri.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh atas nasihat Perdana Menteri melantik Timbalan-Timbalan Menteri daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen; tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidaklah boleh memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan jika dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

(2) Timbalan-Timbalan Menteri hendaklah membantu Menteri-Menteri pada menunaikan tugas dan fungsi mereka, dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri.

(3) Peruntukan Fasal (5) dan (6) Perkara 43 hendaklah terpakai bagi Timbalan Menteri sebagaimana peruntukan itu terpakai bagi Menteri.

(4) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Timbalan-Timbalan Menteri.

Perkara 43B. Setiausaha-Setiausaha Parlimen.

(1) Perdana Menteri boleh melantik Setiausaha-Setiausaha Parlimen daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen; tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak1ah boleh memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan jika dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

(2) Setiausaha-Setiausaha Parlimen hendaklah membantu Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri pada menunaikan tugas dan fungsi mereka, dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri dan Timbalan Menteri.

(3) Seseorang Setiausaha Parlimen boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya, dan pelantikannya sebagai yang demikian boleh ditamatkan pada bila-bila masa oleh Perdana Menteri.

(4) Sebelum seseorang Setiausaha Parlimen menjalankan fungsi jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Perdana Menteri sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.

(5) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Setiausaha-Setiausaha Parlimen.

Perkara 43C. Setiausaha-Setiausaha Politik.

(1) Perdana Menteri boleh melantik apa-apa bilangan orang yang difikirkannya patut untuk menjadi Setiausaha-Setiausaha Politik.

(2) Seseorang yang dilantik sebagai Setiausaha Politik menurut kuasa Perkara ini—

(a) tidak semestinya seorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;
(b) boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa;
(c) tertakluk kepada perenggan (b), hendaklah terus memegang jawatan sehingga masa pelantikannya ditamatkan oleh Perdana Menteri.

(3) Peruntukan Fasal (4) Perkara 43B hendaklah terpakai bagi Setiausaha-Setiausaha Politik sebagaimana peruntukan itu terpakai bagi Setiausaha-Setiausaha Parlimen.

(4) Tugas dan fungsi Setiausaha-Setiausaha Politik, dan saraan mereka, hendaklah ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan edit

Perkara 44. Keanggotaan Parlimen.

Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Perkara 45. Keanggotaan Dewan Negara.

(1) Tertakluk kepada Fasal (4), Dewan Negara hendaklah terdiri daripada ahli-ahli dipilih dan dilantik seperti yang berikut:

(a) dua orang ahli bagi setiap Negeri hendaklah dipilih mengikut Jadual Ketujuh; dan
(aa) dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong; dan
(b) empat puluh orang ahli hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah orang yang pada pendapatnya telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan orang asli.

(3) Tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan tempoh itu tidaklah tersentuh dengan pembubaran Parlimen.

(3A) Seseorang ahli Dewan Negara tidak boleh memegang jawatan selama lebih daripada dua penggal sama ada terus-menerus atau selainnya: Dengan syarat bahawa jika seseorang yang telahpun tamat dua tempoh jawatan atau lebih sebagai ahli Dewan Negara ialah sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Fasal ini seorang ahli Dewan Negara, maka dia boleh terus berkhidmat sebagai ahli sedemikian selama baki tempoh jawatannya.

(4) Parlimen boleh melalui undang-undang—

(a) menambah bilangan ahli yang akan dipilih bagi setiap Negeri menjadi tiga;
(b) memperuntukkan bahawa ahli yang akan dipilih bagi setiap Negeri dipilih sedemikian melalui undi terus oleh pemilih-pemilih Negeri itu;
(c) mengurangkan bilangan ahli dilantik atau menghapuskan ahli dilantik.

Perkara 46. Keanggotaan Dewan Rakyat.

(1) Dewan Rakyat hendaklah terdiri daripada dua ratus dua puluh dua orang ahli dipilih.

(2) Maka hendaklah ada—

(a) dua ratus sembilan orang ahli dari Negeri-negeri di Malaysia seperti yang berikut:
(i) dua puluh enam orang ahli dari Johor;
(ii) lima belas orang ahli dari Kedah;
(iii) empat belas orang ahli dari Kelantan;
(iv) enam orang ahli dari Melaka;
(v) lapan orang ahli dari Negeri Sembilan;
(vi) empat belas orang ahli dari Pahang;
(vii) tiga belas orang ahli dari Pulau Pinang;
(viii) dua puluh empat orang ahli dari Perak;
(ix) tiga orang ahli dari Perlis;
(x) dua puluh lima orang ahli dari Sabah;
(xi) tiga puluh satu orang ahli dari Sarawak;
(xii) dua puluh dua orang ahli dari Selangor; dan
(xiii) lapan orang ahli dari Terengganu; dan
(b) tiga belas orang ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya seperti yang berikut:
(i) sebelas orang ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur;
(ii) seorang ahli dari Wilayah Persekutuan Labuan;
(iii) seorang ahli dari Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Perkara 47. Kelayakan menjadi ahli Parlimen.

Tiap-tiap warganegara yang bermastautin di Persekutuan layak menjadi ahli

(a) Dewan Negara, jika dia berumur tidak kurang daripada tiga puluh tahun;
(b) Dewan Rakyat, jika dia berumur tidak kurang daripada dua puluh satu tahun,

melainkan jika dia hilang kelayakan untuk menjadi ahli mengikut Perlembagaan ini atau mengikut mana-mana undang-undang yang dibuat menurut Perkara 48.

Perkara 48. Kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika—

(a) dia adalah dan telah didapati atau diisytiharkan tidak sempurna akal; atau
(b) dia seorang bankrap belum lepas; atau
(c) dia memegang sesuatu jawatan berpendapatan; atau
(d) setelah dinamakan untuk pemilihan ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan sesuatu Negeri, atau setelah bertindak sebagai ejen pilihan raya bagi seseorang yang dinamakan sedemikian, dia tidak menyerahkan apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki sedemikian; atau
(e) dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau
(f) dia telah dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan, atau telah dengan sukarela menggunakan hak kewarganegaraan di mana-mana negara di luar Persekutuan atau telah membuat suatu akuan setia kepada mana-mana negara di luar Persekutuan.

(2) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghilangkan kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen selama tempoh yang dinyatakan oleh undang-undang itu orang yang melakukan kesalahan berkaitan dengan pilihan raya; dan mana-mana orang yang telah disabitkan atas suatu kesalahan sedemikian atau dibuktikan dalam prosiding yang berhubungan dengan sesuatu pilihan raya sebagai bersalah atas perbuatan yang menjadi kesalahan itu, adalah dengan demikian itu hilang kelayakan selama tempoh yang dinyatakan sedemikian.

(3) Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan (d) atau perenggan (e) Fasal (1) boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan, jika tidak dibatalkan sedemikian, hendaklah terhenti pada akhir tempoh lima tahun yang bermula dari tarikh penyata yang disebut dalam perenggan (d) tersebut dikehendaki diserahkan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, dari tarikh orang yang disabitkan sebagaimana yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dilepaskan daripada jagaan atau dari tarikh denda yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dikenakan ke atas orang itu dan seseorang tidaklah boleh dihilangkan kelayakannya di bawah perenggan (f) Fasal (1) semata-mata oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan olehnya sebelum dia menjadi warganegara.

(4) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam peruntukan yang terdahulu dalam Perkara ini, jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hilang kelayakan untuk terus menjadi ahli Majlis itu menurut perenggan (e) Fasal (1) atau di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2)—

(a) kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh dia—
(i) disabitkan dan dihukum sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (e) yang disebut terdahulu; atau
(ii) disabitkan atas suatu kesalahan atau dibuktikan bersalah atas suatu perbuatan di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2); atau
(b) jika dalam tempoh empat belas hari yang dinyatakan dalam perenggan (a) suatu rayuan atau apa-apa prosiding mahkamah yang lain dibawa berkenaan dengan sabitan atau hukuman itu, atau berkenaan dengan pensabitan atau pembuktian bersalah sedemikian, mengikut mana-mana yang berkenaan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh rayuan itu atau prosiding mahkamah yang lain itu dibereskan oleh mahkamah; atau
(c) jika dalam tempoh yang dinyatakan dalam perenggan (a) atau tempoh selepas pemberesan rayuan atau prosiding mahkamah yang lain yang dinyatakan dalam perenggan (b) ada difailkan suatu petisyen bagi pengampunan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu dibereskan.

(5) Fasal (4) tidaklah terpakai bagi maksud penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen, yang bagi maksudnya kehilangan kelayakan itu hendaklah berkuat kuasa sebaik sahaja berlakunya kejadian yang disebut dalam perenggan (e) Fasal (1) atau dalam Fasal (2), mengikut mana-mana yang berkenaan.

(6) Seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.

Perkara 49. Peruntukan menghalang dua keahlian.

Seseorang tidak boleh pada masa yang sama menjadi ahli kedua-dua Majlis Parlimen, dan juga tidak boleh dipilih ke Dewan Rakyat untuk mewakili lebih daripada satu bahagian pilihan raya atau ke Dewan Negara untuk mewakili lebih daripada satu Negeri, dan juga tidak boleh menjadi ahli dipilih dan dilantik kedua-duanya sekali bagi Dewan Negara.

Perkara 50. Akibat kehilangan kelayakan, dan larangan mengenai penamaan atau pelantikan tanpa persetujuan.

(1) Jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hilang kelayakan untuk menjadi ahli Majlis itu kerusinya hendaklah menjadi kosong.

(2) Jika seseorang yang hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat dipilih ke Dewan Rakyat atau jika seseorang yang hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Negara dipilih atau dilantik ke Dewan Negara atau jika pemilihan atau pelantikan ke mana-mana satu Majlis Parlimen adalah berlawanan dengan Perkara 49, pemilihan atau pelantikan itu adalah terbatal.

(3) (Dimansuhkan).

(4) Seseorang tidak boleh dinamakan dengan sah untuk dipilih sebagai ahli ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau dilantik dengan sah ke Dewan Negara tanpa persetujuannya.

Perkara 51. Pelepasan keahlian oleh ahli-ahli.

Seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen boleh melepaskan keahliannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan, jika dia seorang ahli Dewan Negara, kepada Yang di-Pertua Dewan Negara, atau jika dia seorang ahli Dewan Rakyat, kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Perkara 52. Ketidakhadiran ahli.

(1) Jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, Majlis Parlimen itu boleh mengisytiharkan bahawa kerusinya kosong.

(2) Seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen yang telah diberi kebenaran bercuti daripada menghadiri sidang Majlis Parlimen yang dia menjadi ahlinya tidaklah boleh, selama tempoh kebenaran bercuti itu, dengan apa-apa cara menyertai hal ehwal dan urusan Majlis Parlimen itu.

Perkara 53. Keputusan tentang kehilangan kelayakan.

(1) Jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli suatu Majlis Parlimen telah hilang kelayakan untuk menjadi ahli, maka Majlis itu hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad:

Dengan syarat bahawa Perkara ini tidak boleh dikira sebagai menghalang amalan Majlis Parlimen menangguhkan sesuatu keputusan bagi membolehkan diambil atau ditentukan apa-apa prosiding yang mungkin menyentuh keputusannya (termasuklah prosiding bagi membatalkan kehilangan kelayakan itu).

(2) Jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hilang kelayakan di bawah perenggan (e) Fasal (1) Perkara 48 atau di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2) Perkara 48, maka Fasal (1) tidaklah terpakai dan dia hendaklah terhenti menjadi ahli Majlis Parlimen itu, dan kerusinya hendaklah menjadi kosong, sebaik sahaja kehilangan kelayakannya berkuat kuasa mengikut Fasal (4) Perkara 48.

Perkara 54. Kekosongan di dalam Dewan Negara dan kekosongan luar jangka.

(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (3), apabila terdapat sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara atau sesuatu kekosongan luar jangka di kalangan ahli Dewan Rakyat, maka kekosongan atau kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara bahawa ada kekosongan atau oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa ada kekosongan luar jangka, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan suatu pilihan raya hendaklah diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan sewajarnya:

Dengan syarat bahawa kegagalan membuat apa-apa pelantikan sedemikian dalam tempoh yang dinyatakan dalam Fasal ini tidaklah menidaksahkan apa-apa pelantikan yang dibuat di luar tempoh itu:

Dengan syarat selanjutnya bahawa, jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar mengikut Fasal (3) Perkara 55, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Rakyat terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.

(2) (Dimansuhkan).

(3) Jika sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara adalah berhubungan dengan suatu kekosongan yang hendaklah diisi oleh seorang ahli yang hendaklah dipilih oleh sesuatu Negeri mengikut Jadual Ketujuh, maka peruntukan Fasal (1) tidaklah terpakai bagi mengisi kekosongan itu.

Perkara 55. Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

(4) Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen.

(6) (Dimansuhkan).

(7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4A) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.

Perkara 56. Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.

(1) Dewan Negara hendaklah dari semasa ke semasa memilih seorang daripada ahlinya untuk menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara dan seorang untuk menjadi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, dan tidak boleh, tertakluk kepada Fasal (3), menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain pemilihan Yang di-Pertua.

(2) Seseorang ahli yang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua terhenti memegang jawatannya apabila habis tempoh yang baginya dia dipilih atau dilantik menjadi ahli atau apabila selainnya dia terhenti menjadi ahli Dewan Negara, atau apabila telah hilang kelayakan di bawah Fasal (5), dan boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa.

(3) Dalam masa apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertua atau dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam mana-mana persidangan, Timbalan Yang di-Pertua atau, jika Timbalan Yang di-Pertua juga tidak hadir atau jika jawatannya juga kosong, seorang ahli lain yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan Negara, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua.

(4) Jika ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri dipilih menjadi Yang di-Pertua, maka dia hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Undangan Negeri itu sebelum menjalankan fungsi jawatannya.

(5) Seseorang ahli yang dipilih menjadi Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan dari pemilihannya untuk memegang jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan ahli itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

(6) Jika berbangkit apa-apa soal mengenai kehilangan kelayakan Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua di bawah Fasal (5), maka Dewan Negara hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad.

Perkara 57. Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

(1) Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih—

(a) sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, seseorang sama ada yang menjadi ahli Dewan Rakyat atau yang layak dipilih menjadi ahli yang sedemikian; dan
(b) dua orang Timbalan Yang di-Pertua daripada kalangan ahli Dewan Rakyat,

dan Dewan Rakyat tidak boleh, tertakluk kepada Fasal (3), menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain pemilihan Yang di-Pertua.

(1A) Mana-mana orang yang bukan ahli Dewan Rakyat yang dipilih sebagai Yang di-Pertua—

(a) hendaklah, sebelum menjalankan tugas jawatannya, mengangkat dan menandatangani di hadapan Dewan Rakyat sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam; dan
(b) hendaklah, oleh sebab dia memegang jawatannya itu, menjadi ahli Dewan Rakyat sebagai tambahan kepada ahli-ahli yang dipilih menurut Perkara 46:

Dengan syarat bahawa perenggan (b) tidaklah mempunyai kuat kuasa bagi maksud mana-mana peruntukan yang berikut dalam Perlembagaan ini, iaitu, Perkara 43, 43A, 43B, 50 hingga 52, 54 dan 59; dan tiada seorang pun berhak, menurut kuasa perenggan itu, mengundi atas apa-apa perkara di hadapan Dewan Rakyat.

(2) Yang di-Pertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, dan hendaklah mengosongkan jawatannya—

(a) apabila Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum;
(b) apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat melainkan oleh sebab pembubarannya atau, jika dia menjadi ahli semata-mata menurut kuasa perenggan (b) Fasal (lA), apabila dia terhenti berkelayakan menjadi ahli;
(bb) apabila telah hilang kelayakan di bawah Fasal (5);
(c) jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.

(2A) Seseorang Timbalan Yang di-Pertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, dan hendaklah mengosongkan jawatannya—

(a) apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat;
(b) jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.

(3) Dalam masa apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertua atau dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam mana-mana persidangan, melainkan oleh sebab Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum, maka seorang daripada Timbalan Yang di-Pertua atau, jika kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua tidak hadir atau jika kedua-dua jawatan mereka itu kosong, seorang ahli lain sebagaimana yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan Rakyat, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua.

(4) Jika ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri dipilih menjadi Yang di-Pertua, maka dia hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Undangan Negeri itu sebelum menjalankan fungsi jawatannya.

(5) Seseorang yang dipilih menjadi Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan dari pemilihannya untuk memegang jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan ahli itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

(6) Jika berbangkit apa-apa soal mengenai kehilangan kelayakan Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua di bawah Fasal (5), maka Dewan Rakyat hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad.

Perkara 58. Saraan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua.

Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian bagi Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

Perkara 59. Sumpah oleh ahli-ahli.

(1) Tiap-tiap ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hendaklah sebelum mengambil kerusinya mengangkat dan menandatangani di hadapan orang yang mempengerusikan Majlis Parlimen itu suatu sumpah mengikut bentuk yang dinyatakan dalam Jadual Keenam, tetapi seseorang ahli boleh sebelum mengangkat sumpah itu mengambil bahagian dalam pemilihan Yang di-Pertua Dewan Negara atau Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

(2) Jika seseorang ahli tidak mengambil kerusinya dalam masa enam bulan dari tarikh Majlis Parlimen itu bersidang bagi pertama kalinya selepas pemilihannya atau dalam masa yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Majlis Parlimen itu, maka kerusinya hendaklah menjadi kosong.

Perkara 60. Titah oleh Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong boleh bertitah kepada mana-mana satu Majlis Parlimen atau keduadua Majlis Parlimen bersesama.

Perkara 61. Peruntukan khas tentang Jemaah Menteri dan Peguam Negara.

(1) Sebagai tambahan kepada haknya sebagai ahli salah satu Majlis Parlimen tiap-tiap anggota Jemaah Menteri berhak mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Parlimen yang satu lagi.

(2) Mana-mana satu Majlis Parlimen boleh melantik Peguam Negara atau mana-mana anggota Jemaah Menteri menjadi anggota mana-mana jawatankuasanya walaupun dia bukan ahli Majlis Parlimen itu.

(3) Perkara ini tidak membenarkan mana-mana orang yang bukan ahli sesuatu Majlis Parlimen mengundi di dalam Majlis Parlimen itu atau dalam mana-mana jawatankuasanya.

(4) Dalam Perkara ini "anggota Jemaah Menteri" termasuklah Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen.

Perkara 62. Tatacara Parlimen.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.

(2) Setiap Majlis Parlimen boleh bertindak walaupun ada apa-apa kekosongan dalam keahliannya, dan kehadiran atau penyertaan mana-mana orang yang tidak berhak hadir atau turut serta tidaklah menidaksahkan mana-mana prosiding.

(3) Tertakluk kepada Fasal (4) dan kepada Perkara 89(1) dan 159(3) dan kepada seksyen 10 dan 11 Jadual Ketiga Belas, setiap Majlis Parlimen hendaklah, jika tidak sebulat suara, membuat keputusannya mengikut majoriti biasa ahli-ahli yang mengundi; dan orang yang mempengerusikan itu, melainkan jika dia menjadi ahli Majlis Parlimen itu semata-mata menurut kuasa perenggan (b) Fasal (1A) Perkara 57, hendaklah membuang undinya apabila perlu bagi mengelakkan undi sama banyak, tetapi tidak boleh mengundi dalam apa-apa hal lain.

(4) Pada mengawal selia tatacaranya, setiap Majlis Parlimen boleh memperuntukkan bahawa tiada apa-apa keputusan yang berkenaan dengan prosidingnya boleh dibuat kecuali mengikut majoriti yang ditentukan atau mengikut bilangan undi yang ditentukan.

(5) Ahli-ahli yang tidak hadir di dalam sesuatu Majlis Parlimen tidaklah dibenarkan mengundi.

Perkara 63. Keistimewaan Parlimen.

(1) Kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

(2) Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.

(3) Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang disiarkan oleh atau di bawah kuasa mana-mana satu Majlis Parlimen.

(4) Fasal (2) tidaklah terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Fasal (4) Perkara 10 atau atas suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 [Akta 15] sebagaimana yang dipinda oleh Ordinan No. 45 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 [P.U. (A) 282170].

(5) Walau apa pun Fasal (4), tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan olehnya tentang Yang di-Pertuan Agong atau seseorang Raja semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya kecuali jika dia menganjurkan penghapusan kedudukan berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan berperlembagaan Raja sesuatu Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Perkara 64. Saraan ahli.

Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan ahli-ahli setiap Majlis Parlimen.

Perkara 65. Setiausaha Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

(1) Maka hendaklah ada seorang Setiausaha Dewan Negara dan seorang Setiausaha Dewan Rakyat.

(2) Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan dan setiap seorang hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur persaraan paksa bagi anggota perkhidmatan awam am melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatannya atau ditukarkan kepada suatu jawatan lain dalam perkhidmatan awam am itu.

(3) Orang yang memegang jawatan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Fasal ini hendaklah, melainkan jika mana-mana orang itu belum mencapai umur lima puluh lima tahun dan sudah memilih untuk menjadi anggota perkhidmatan awam am Persekutuan, terus memegang jawatan masing-masing atas terma-terma dan syarat-syarat yang tidak kurang baiknya daripada yang terpakai baginya sebaik sebelum permulaan kuat kuasa sedemikian dan tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan, dan dalam hal ini representasi yang disebut dalam Perkara 125(3) hendaklah representasi yang dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Negara atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

(4) (Dimansuhkan).

(5) (Dimansuhkan).

Bab 5 - Tatacara perundangan edit

Perkara 66. Penjalanan kuasa perundangan.

(1) Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah dijalankan melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen (atau, dalam hal yang disebut dalam Perkara 68, oleh Dewan Rakyat) dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Perkara ini, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Tertakluk kepada Perkara 67, sesuatu Rang Undang-Undang boleh bermula di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

(3) Apabila sesuatu Rang Undang-Undang telah diluluskan oleh Majlis Parlimen tempat Rang Undang-Undang itu bermula, maka Rang Undang-Undang itu hendaklah dihantar kepada Majlis Parlimen yang satu lagi; dan Rang Undang-Undang itu hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya apabila telah diluluskan oleh Majlis Parlimen yang satu lagi itu dan persetujuan telah dicapai antara kedua-dua Majlis Parlimen itu mengenai apa-apa pindaan yang dibuat dalam Rang Undang-Undang itu atau apabila Rang Undang-Undang itu dikehendaki dikemukakan sedemikian di bawah Perkara 68.

(4) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepadanya memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Mohor Besar dicapkan pada Rang Undang-Undang itu.

(4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah memperkenankannya.

(4B) (Dimansuhkan).

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang apabila diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal (4A), tetapi tiada undang-undang boleh berkuat kuasa sehingga undang-undang itu telah disiarkan, tanpa, walau bagaimanapun, menjejaskan kuasa Parlimen untuk menangguhkan kuat kuasa mana-mana undang-undang atau untuk membuat undang-undang yang berkuat kuasa ke belakang.

(6) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini atau dalam Perkara 68 boleh menidaksahkan mana-mana undang-undang yang mengesahkan aku janji yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan yang bermaksud bahawa Rang Undang-Undang yang dimaksudkan oleh aku janji itu tidak akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya kecuali mengikut aku janji itu.

Perkara 67. Sekatan terhadap pembawaan Rang Undang-Undang dan pencadangan pindaan-pindaan yang melibatkan pencukaian, perbelanjaan, dsb.

(1) Sesuatu Rang Undang-Undang atau pindaan yang membuat peruntukan (sama ada secara langsung atau secara tidak langsung) bagi—

(a) mengenakan atau menaikkan apa-apa cukai atau menghapuskan, menurunkan atau meremitkan apa-apa cukai yang ada;
(b) peminjaman wang, atau pemberian apa-apa jaminan, oleh Persekutuan, atau pemindaan undang-undang yang berhubungan dengan obligasi kewangan Persekutuan;
(c) penjagaan Kumpulan Wang Disatukan, pemertanggungan apa-apa wang pada Kumpulan Wang Disatukan atau penghapusan atau pengubahan mana-mana pemertanggungan itu;
(d) pembayaran wang ke dalam Kumpulan Wang Disatukan atau pembayaran, pengeluaran atau pengambilan keluar daripada Kumpulan Wang Disatukan apa-apa wang yang tidak dipertanggungkan padanya, atau apa-apa pertambahan amaun yang dibayar, dikeluarkan atau diambil keluar itu;
(e) pengkompaunan atau peremitan apa-apa hutang yang kena dibayar kepada Persekutuan;
(f) penyerahhakan cukai atau fi atau pembuatan pemberian kepada mana-mana Negeri;
(g) penerimaan wang bagi akaun Kumpulan Wang Disatukan atau penjagaan atau pengeluaran wang itu atau pengauditan akaun Persekutuan atau sesuatu Negeri,

iaitu peruntukan yang berkenaan dengannya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kewangan menandakan bahawa peruntukan itu adalah lebih daripada apa yang bersampingan sahaja dan lebih daripada apa yang tidak bersifat substansial memandangkan maksud Rang Undang-Undang atau pindaan itu tidak boleh dibawa atau dicadangkan kecuali oleh seorang Menteri, dan sesuatu Rang Undang-Undang yang membuat apa-apa peruntukan sedemikian tidak boleh dimulakan di dalam Dewan Negara.

(2) Sesuatu Rang Undang-Undang atau pindaan tidaklah boleh disifatkan membuat peruntukan bagi mana-mana perkara tersebut semata-mata oleh sebab Rang Undang-Undang atau pindaan itu mengadakan peruntukan—

(a) bagi pengenaan atau pengubahan apa-apa denda atau penalti wang lain atau bagi pembayaran atau penuntutan fi lesen atau fi atau caj bagi apa-apa perkhidmatan yang diberikan; atau
(b) bagi pengenaan, pengubahan atau pengawalseliaan apa-apa cukai atau kadar oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan atau badan bagi maksud tempatan.

Perkara 68. Perkenan terhadap Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat sahaja.

(1) Jika sesuatu Rang Undang-Undang wang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan, setelah dihantar kepada Dewan Negara sekurang-kurangnya sebulan sebelum akhir penggal itu, Rang Undang-Undang itu tidak diluluskan oleh Dewan Negara tanpa pindaan dalam tempoh sebulan, maka Rang Undang-Undang itu hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya melainkan jika diarahkan selainnya oleh Dewan Rakyat.

(2) Jika—

(a) sesuatu Rang Undang-Undang yang bukan suatu Rang Undang-Undang wang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan setelah dihantar kepada Dewan Negara sekurang-kurangnya sebulan sebelum akhir penggal itu, Rang Undang-Undang itu tidak diluluskan oleh Dewan Negara atau diluluskan oleh Dewan Negara dengan pindaan yang tidak dipersetujui oleh Dewan Rakyat; dan
(b) dalam penggal yang berikutnya (sama ada di dalam Parlimen yang sama atau tidak) tetapi tidak lebih awal daripada setahun selepas Rang Undang-Undang itu mula-mula diluluskan oleh Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang yang sama, tanpa apa-apa perubahan lain selain yang disebut dalam Fasal (3), diluluskan sekali lagi oleh Dewan Rakyat dan dihantar kepada Dewan Negara sekurang-kurangnya sebulan sebelum akhir penggal itu dan tidak diluluskan oleh Dewan Negara atau diluluskan oleh Dewan Negara dengan pindaan yang tidak dipersetujui oleh Dewan Rakyat,

maka Rang Undang-Undang itu hendaklah, melainkan jika diarahkan selainnya oleh Dewan Rakyat, dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya dengan apa-apa pindaan, jika ada, sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua Majlis Parlimen.

(3) Perubahan yang disebut dalam Fasal (2) ialah perubahan yang diperakui oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagai perlu oleh sebab masa yang telah luput semenjak Rang Undang-Undang itu diluluskan dalam penggal yang terdahulu atau untuk menggambarkan pindaan yang dibuat dalam penggal itu oleh Dewan Negara.

(4) Apabila sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara ini, Rang Undang-Undang itu hendaklah mengandungi suatu perakuan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa peruntukan Perkara ini telah dipatuhi, dan perakuan itu adalah muktamad bagi segala maksud dan tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

(5) Perkara ini tidaklah terpakai bagi apa-apa Rang Undang-Undang untuk membuat apa-apa pindaan kepada Perlembagaan ini, selain pindaan yang dikecualikan daripada peruntukan Fasal (3) Perkara 159.

(6) Dalam Perkara ini "Rang Undang-Undang wang" ertinya suatu Rang Undang-Undang, yang pada pendapat Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengandungi hanya peruntukan yang memperkatakan kesemua atau mana-mana perkara yang berikut sahaja, iaitu:

(a) perkara yang disebut dalam Fasal (1) Perkara 67 atau pengawalseliaan apa-apa cukai;
(b) pengurangan mana-mana amaun yang disebut dalam perenggan (d) Fasal (1) Perkara 67; dan
(c) apa-apa perkara yang bersampingan dengan perkara itu atau mana-mana perkara itu,

yang diperakui oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagai suatu Rang Undang-Undang wang.

Bab 6 - Keupayaan berkenaan dengan harta, kontrak dan guaman edit

Perkara 69. Keupayaan Persekutuan berkenaan dengan harta, kontrak dan guaman.

(1) Persekutuan mempunyai kuasa untuk mengambil, memegang dan melupuskan apa-apa jenis harta dan membuat kontrak.

(2) Persekutuan boleh mengemukakan tuntutan guaman dan dihadapkan dengan tuntutan guaman.

Sumber edit

  1. Lihat Akta Yang di-Pertuan Agong (Penjalanan Fungsi) 1957 [Akta 373].
  2. Lihat Akta Peruntukan Diraja 1982 [Akta 269].
  3. Lihat Akta Timbalan yang di-Pertuan Agong (Saraan) 1958 [Akta 374].
  4. Lihat F.M. G.N. 3625/1952.