Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Pilihan Raya

Perkara 113. Penjalanan pilihan raya.

(1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang hendaklah ditubuhkan mengikut Perkara 114, yang, tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan, hendaklah menjalankan pilihan raya ke Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri dan menyediakan dan menyemak daftar pemilih bagi pilihan raya itu.

(2) (i) Tertakluk kepada perenggan (ii), Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah, dari semasa ke semasa, sebagaimana yang difikirkannya perlu, mengkaji semula pembahagian Persekutuan dan Negeri-Negeri kepada bahagian pilihan raya dan mengesyorkan apa-apa perubahan mengenainya yang difikirkannya perlu supaya dipatuhi peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas; dan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan-Dewan Undangan hendaklah dijalankan pada masa yang sama dengan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan Rakyat.

(ii) Maka hendaklah ada lat tempoh tidak kurang daripada lapan tahun antara tarikh siapnya satu kajian semula, dengan tarikh bermulanya kajian semula yang kemudiannya, di bawah Fasal ini.
(iii) Kajian semula di bawah perenggan (i) hendaklah disiapkan dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh bermulanya kajian semula itu.

(3) Jika Suruhanjaya Pilihan Raya berpendapat bahawa berikutan dengan suatu undang-undang yang dibuat di bawah Perkara 2 kajian semula yang disebut dalam Fasal (2) perlu dijalankan, maka Suruhanjaya itu hendaklah berbuat sedemikian sama ada atau tidak lapan tahun telah berlalu semenjak kajian semula yang terakhir dijalankan di bawah Fasal itu.

(3A) (i) Jika bilangan ahli dipilih bagi Dewan Rakyat diubah berikutan dengan apa-apa pindaan kepada Perkara 46, atau bilangan ahli dipilih bagi Dewan Undangan sesuatu Negeri diubah berikutan dengan suatu undang-undang yang diperbuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah, tertakluk kepada Fasal (3B), menjalankan kajian semula pembahagian kawasan yang tersentuh dengan pengubahan itu kepada bahagian pilihan raya persekutuan atau Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan kajian semula itu hendaklah disiapkan dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh permulaan kuat kuasa undang-undang yang membuat pengubahan itu.

(ii) Kajian semula di bawah perenggan (i) tidaklah menyentuh lat tempoh yang diperuntukkan di bawah perenggan (ii) Fasal (2) berkenaan dengan kajian semula di bawah perenggan (i) Fasal itu.
(iii) Peruntukan Jadual Ketiga Belas hendaklah terpakai bagi kajian semula di bawah Fasal ini, tetapi tertakluk kepada apa-apa ubah suaian yang difikirkan perlu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

(3B) Jika sesuatu pindaan kepada Perkara 46 atau suatu undang-undang yang diperbuat oleh Dewan Undangan sesuatu Negeri yang disebut dalam perenggan (i) Fasal (3A) mula berkuat kuasa selepas lapan tahun berlalu dari tarikh siapnya kajian semula yang terakhir di bawah Fasal (2) dan Suruhanjaya Pilihan Raya berpendapat bahawa perlu dijalankan suatu kajian semula di bawah Fasal (2), maka Suruhanjaya Pilihan Raya tidak boleh menjalankan kajian semula di bawah perenggan (i) Fasal (3A) tetapi sebaliknya hendaklah menjalankan kajian semula di bawah Fasal (2) dan dalam mengendalikan kajian semula sedemikian hendaklah mengambil kira mana-mana kawasan yang tersentuh berikutan dengan pindaan atau undang-undang yang disebut dalam perenggan (i) Fasal (3A).

(4) Undang-undang persekutuan atau Negeri boleh memberi kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan pilihan raya selain pilihan raya yang disebut dalam Fasal (1).

(5) Setakat yang perlu bagi maksud fungsinya di bawah Perkara ini, Suruhanjaya Pilihan Raya boleh membuat kaedah-kaedah, tetapi mana-mana kaedah yang sedemikian hendaklah berkuat kuasa tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan.

(6) Kajian semula yang berasingan di bawah Fasal (2) hendaklah dijalankan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan bagi tiap-tiap satu daripada Negeri Sabah dan Sarawak, dan bagi maksud Bahagian ini ungkapan "unit kajian semula" ertinya, bagi bahagian pilihan raya persekutuan, kawasan yang sedang dikaji semula dan, bagi bahagian pilihan raya Negeri, ertinya Negeri itu, dan ungkapan "Negeri-Negeri Tanah Melayu" termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

(7) Tertakluk kepada Fasal (3), tempoh bagi kajian semula kali pertama di bawah Fasal (2) bagi mana-mana unit kajian semula hendaklah dihitung mulai dari penyempadanan kali pertama bahagian pilihan raya bagi unit itu di bawah Perlembagaan ini atau di bawah Akta Malaysia [Akta 26 tahun 1963].

(8) Walau apa pun Fasal (7) Perkara ini tempoh bagi kajian semula di bawah Fasal (2) bagi unit kajian semula bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu yang dijalankan selepas lulusnya Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 hendaklah dihitung mulai dari penyempadanan kali pertama bahagian pilihan raya bagi unit itu sebaik selepas lulusnya Akta itu.

(9) Tarikh bermulanya sesuatu kajian semula di bawah Fasal (2) atau Fasal (3A), mengikut mana-mana yang berkenaan, ialah tarikh tersiarnya notis yang disebut dalam seksyen 4 Jadual Ketiga Belas dalam Warta.

(10) Tarikh siapnya sesuatu kajian semula di bawah Fasal (2) atau Fasal (3A), mengikut mana-mana yang berkenaan, ialah tarikh laporan dikemukakan kepada Perdana Menteri di bawah seksyen 8 Jadual Ketiga Belas, dan notis mengenai tarikh itu hendaklah disiarkan dalam Warta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Perkara 114. Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya.

(1) Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.

(2) Pada melantik anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

(3) Seseorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya terhenti daripada memegang jawatan apabila mencapai umur enam puluh lima tahun atau apabila hilang kelayakan di bawah Fasal (4) dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atau alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

(4) Walau apa pun apa-apa jua dalam Fasal (3), Yang di-Pertuan Agong hendaklah melalui perintah memecat daripada jawatan mana-mana anggota Suruhanjaya Pilihan Raya jika anggota itu—

(a) seorang bankrap belum lepas; atau
(b) melibatkan diri dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan berbayar di luar tugas jawatannya; atau
(c) ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan sesuatu Negeri.

(4A) Sebagai tambahan kepada apa-apa kehilangan kelayakan yang diperuntukkan di bawah Fasal (4), pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan pelantikannya ke jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan anggota itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

(5) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

(5A) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi terma jawatan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya selain saraan mereka.

(6) Saraan dan terma lain jawatan bagi seseorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya tidaklah boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.

(7) Jika, dalam apa-apa tempoh, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya telah diberi kebenaran bercuti oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak dapat menunaikan fungsinya kerana dia tidak ada di dalam Persekutuan, sakit atau apa-apa sebab lain, maka timbalan pengerusi hendaklah menunaikan fungsi pengerusi selama tempoh itu, dan jika timbalan pengerusi juga tidak ada atau tidak dapat menunaikan fungsi itu, maka seorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menunaikan fungsi pengerusi selama tempoh itu.

Perkara 115. Bantuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

(1) Suruhanjaya Pilihan Raya boleh mengambil kerja apa-apa bilangan orang, mengikut apa-apa terma dan tertakluk kepada apa-apa syarat, yang ditentukan olehnya dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

(2) Apabila diminta oleh Suruhanjaya, semua pihak berkuasa awam hendaklah memberikan apa-apa bantuan sebagaimana yang dapat dilaksanakan kepada Suruhanjaya dalam menunaikan tugasnya; dan pada menjalankan fungsinya bagi membuat syor bagi menyempadankan bahagian pilihan raya bagi pilihan raya yang disebut dalam Fasal (1) Perkara 113, Suruhanjaya hendaklah meminta nasihat daripada dua orang pegawai Kerajaan Persekutuan yang mempunyai pengetahuan khas mengenai topografi dan taburan penduduk dalam unit kajian semula bagi pilihan raya persekutuan, dan pegawai itu hendaklah dipilih bagi maksud itu oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 116. Bahagian pilihan raya persekutuan.

(1) Bagi pemilihan ahli-ahli ke Dewan Rakyat, sesuatu unit kajian semula hendaklah dibahagikan kepada bahagian pilihan raya mengikut peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas.

(2) Jumlah bilangan bahagian pilihan raya hendaklah sama dengan bilangan ahli supaya seorang ahli dipilih bagi setiap bahagian pilihan raya, dan daripada jumlah bilangan bahagian pilihan raya di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu itu suatu bilangan yang ditentukan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Perkara 46 dan Jadual Ketiga Belas hendaklah diuntukkan bagi setiap Negeri.

(3) (Dimansuhkan).

(4) (Dimansuhkan).

(5) (Dimansuhkan).

Perkara 117. Bahagian pilihan raya Negeri.

Bagi pemilihan ahli-ahli ke Dewan Undangan sesuatu Negeri, Negeri itu hendaklah dibahagikan kepada seberapa banyak bahagian pilihan raya mengikut bilangan ahli yang dipilih supaya seorang ahli dipilih bagi setiap bahagian pilihan raya; dan pembahagian itu hendaklah dibuat mengikut peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas.

Perkara 118. Cara mencabar pemilihan.

Tiada pemilihan ke Dewan Rakyat atau ke Dewan Undangan sesuatu Negeri boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya itu diadakan.

Perkara 118A. Cara mempersoalkan petisyen pilihan raya mengenai tidak adanya pemilihan.

Sesuatu petisyen yang mengadukan hal bahawa tiada apa-apa pemilihan telah dibuat ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan hendaklah disifatkan sebagai satu petisyen pilihan raya dan Mahkamah Tinggi boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya patut mengenainya untuk memaksa suatu pemilihan dibuat tetapi kegagalan membuat pemilihan dalam mana-mana tempoh yang dinyatakan oleh Perkara 54 atau 55 atau oleh peruntukan yang bersamaan dalam Perlembagaan mana-mana Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, tidaklah menjadi suatu alasan bagi mengisytiharkan bahawa seseorang ahli telah tidak dipilih dengan sewajarnya.

Perkara 119. Kelayakan pemilih.

(1) Tiap-tiap warganegara yang—

(a) telah mencapai umur dua puluh satu tahun pada tarikh kelayakan;
(b) bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan yang sedemikian atau, jika tidak bermastautin sedemikian, ialah seorang pengundi tidak hadir; dan
(c) didaftarkan, di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya, dalam daftar pemilih sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat dia bermastautin pada tarikh kelayakan,

berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan melainkan jika dia hilang kelayakan di bawah Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pilihan raya; tetapi tiada seorang pun boleh mengundi dalam pilihan raya yang sama di dalam lebih daripada satu bahagian pilihan raya.

(2) Jika seseorang berada di dalam sesuatu bahagian pilihan raya semata-mata oleh sebab dia ialah seorang pesakit di suatu institusi yang disenggarakan keseluruhannya atau terutamanya untuk menerima dan merawat orang yang mengidap penyakit mental atau kecacatan mental atau semata-mata oleh sebab dia ditahan dalam jagaan, maka dia hendaklah bagi maksud Fasal (1) disifatkan tidak bermastautin di dalam bahagian pilihan raya itu.

(3) Seseorang hilang kelayakan untuk menjadi pemilih dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan jika—

(a) pada tarikh kelayakan dia ditahan sebagai orang yang tidak sempurna akal atau sedang menjalani hukuman pemenjaraan; atau
(b) sebelum tarikh kelayakan dia telah disabitkan atas suatu kesalahan di dalam mana-mana bahagian Komanwel dan dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh melebihi dua belas bulan dan pada tarikh kelayakan itu dia masih kena menjalani apa-apa hukuman bagi kesalahan itu.

(4) Dalam perkara ini—

(a) "pengundi tidak hadir" ertinya, berhubung dengan mana-mana bahagian pilihan raya, mana-mana warganegara yang berdaftar sebagai pengundi tidak hadir berkenaan dengan bahagian pilihan raya itu;
(b) "tarikh kelayakan" ertinya tarikh seseorang memohon supaya didaftarkan sebagai pemilih dalam sesuatu bahagian pilihan raya, atau tarikh dia memohon untuk menukar pendaftarannya sebagai pemilih dalam suatu bahagian pilihan raya yang lain,

mengikut peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya.

Perkara 120. Pemilihan terus ke Dewan Negara.

Jika mengikut Fasal (4) Perkara 45 peruntukan dibuat oleh Parlimen bagi pemilihan ahli-ahli Dewan Negara dengan cara undi terus oleh pemilih, maka—

(a) keseluruhan sesuatu Negeri hendaklah menjadi satu bahagian pilihan raya dan dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Negara setiap pemilih hendaklah mempunyai undi sebanyak bilangan kerusi yang hendak diisi dalam pilihan raya itu; dan
(b) daftar pemilih bagi pilihan raya ke Dewan Rakyat hendaklah juga menjadi daftar pemilih bagi pilihan raya ke Dewan Negara; dan
(c) Perkara 118, 118A dan 119 hendaklah terpakai berhubung dengan pilihan raya ke Dewan Negara sebagaimana Perkara-Perkara itu terpakai berhubung dengan pilihan raya ke Dewan Rakyat.